Koperasi ASMARA umum dividen 10 peratus

ASMARA mengumumkan dividen sebanyak 10 peratus untuk tahun kewangan berakhir 29 Februari 2016.

ASMARA mengumumkan dividen sebanyak 10 peratus untuk tahun kewangan berakhir 29 Februari 2016.

KOPERASI Anak Sains MARA Berhad (ASMARA), sebuah koperasi strategik dianggotai alumni pelajar dan bekas kakitangan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) mengumumkan dividen sebanyak 10 peratus untuk tahun kewangan berakhir 29 Februari 2016.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Datuk Dr. Md Mydin Md Sheriff berkata, pemberian dividen tersebut adalah hasil prestasi cemerlang pengurusan koperasi berkenaan serta didorong oleh peningkatan pendapatan dalam projek-projek utama koperasi yang mana sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh perniagaan khidmat sokongan perdagangan antarabangsa di Indonesia.

Menurut beliau, perkhidmatan ASMARA di Indonesia merangkumi perundingan, persijilan, logistik dan sokongan pengedaran yang diakui amat bermanfaat oleh para pengeksport terutamanya kumpulan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera.

“Pasaran Indonesia, secara tradisinya adalah antara pasaran yang paling sukar ditembusi di dunia. Produk sensitif seperti produk makanan dan farmaseutikal memerlukan persijilan yang rumit untuk diperolehi sebelum ianya dapat dijual secara terbuka.

“Di sini usahawan memerlukan platform seperti ASMARA yang mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin daerah seperti Walikota Bandung, Walikota Cimahi dan Bupati Purwakarta yang menguasai kawasan-kawasan industri kreatif yang strategik,” kata beliau.

Bagi tiga tahun ke hadapan, beliau menyatakan bahawa ASMARA seterusnya akan fokus membangunkan beberapa platform kerjasama dengan walikota dan bupati yang telahpun mempunyai hubungan rasmi dengan koperasi berkenaan.

“Projek pertama adalah pembangunan 200 outlet the Little Bandung yang akan dimulai pada bulan Oktober ini dengan outlet pertama di Anggerik Mall Shah Alam iaitu sebuah pusat membeli belah yang dimiliki oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA). Projek the Little Bandung ini dibangunkan dengan kerjasama Walikota Bandung, Ir. Ridwan Kamil.

“Produk utama the Little Bandung adalah fesyen dan makanan dari dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia,” tambah beliau yang ditemui sewaktu acara ASMARA Business Event (ABE) 2016. Acara tahunan itu disertai oleh ramai usahawan yang dinaungi ASMARA.

Antara tetamu kehormat yang menghadiri acara ABE 2016 tahun ini adalah Timbalan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Hawa Mohamed Salleh yang telah turut serta menyaksikan pengumuman dividen ASMARA. – sumber Sinar Harian

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan. Bookmark the permalink.