MARA KOMITED MEMPERKASA USAHAWAN BUMIPUTERA DALAM INDUSTRI HALAL MELALUI HALFEST 2016

 

DSC_0099 (2)

Oleh Zuraini Sainal
media@mara.gov.my

SERI KEMBANGAN, 1 September – Bagi memantapkan penglibatan usahawan dalam arena halal negara, MARA telah mengambil inisiatif selaku penganjur bersama di Halal Fiesta Malaysia (HALFEST 2016), sebuah ekspo kepenggunaan produk dan perkhidmatan Halal terbesar yang berlangsung di Pusat Pameran MINES (MIECC), Seri Kembangan, Selangor bermula 31 Ogos hingga 4 September 2016.

Penglibatan MARA sebagai penganjur bersama Halfest 2016 juga adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal global bagi pengeluaran, perdagangan produk dan pelbagai perkhidmatan berkenaan industri ini.

Sempena penganjuran eskpo ini, lebih 70 buah gerai usahawan MARA dari pelbagai kluster utama seperti F&B (penyediaan makanan), lifestyle (gaya hidup) dan kesihatan terlibat sepanjang program yang berlangsung.
Penglibatan seumpama ini merupakan satu platform untuk para usahawan MARA meneroka peluang baru dalam perniagaan, penawaran produk dan perkhidmatan halal, mengukuhkan jenama produk serta penjenamaan secara strategik sekali gus meningkatkan jaringan perniagaan masing-masing.

Selain itu daripada pameran usahawan, MARA turut menganjurkan sesi pemadanan perniagaan serta aktiviti sampingan seperti demo masakan dan penampilan selebriti tempatan sempena ekspo ini.

Menyedari industri halal menyediakan ruang penjanaan pendapatan tinggi kepada usahawan Bumiputera, MARA menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti dengan mengintegrasikan bahagian-bahagian di sektor usahawannya mengikut skop masing-masing dengan membentuk satu Transformasi Ekosistem Halal.

Antaranya adalah dengan mewujudkan beberapa pusat industri seperti Kompleks Industi Makanan, Inkubator Teknologi Makanan sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan baru dalam bidang makanan selain penjenamaan semula Kawasan Industri MARA kepada Pusat Halal Park yang berperanan sebagai pusat pemprosesan, penghasilan dan pemasaran produk halal usahawan Bumiputera.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.