“Moh Ngeteh” suntik semangat solidariti rakyat Malaysia seluruh negara – Ismail Sabri

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama yang lain melaungkan "Merdeka" pada program Moh Ngeteh Sambutan Hari Kebangsaan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama yang lain melaungkan “Merdeka” pada program Moh Ngeteh Sambutan Hari Kebangsaan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan

29 Ogos – Lebih 500,000 warga Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) menyertai program “Moh Ngeteh” sempena sambutan Hari Kebangsaan di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu juga turut disambut pelajar tajaan MARA yang menuntut di seluruh dunia termasuk di London.
Beliau berkata, program yang julung kali diadakan itu adalah simbolik kepada semangat kemerdekaan dalam kalangan warga kementerian berkenaan, selain menunjukkan semangat solidariti mereka untuk sama-sama menyemarakkan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan negara.

“Program “Moh Ngeteh Hari Kebangsaan KKLW” ini adalah program untuk sambutan Hari Merdeka. Kita adakan serentak di seluruh negara, termasuk pelajar-pelajar kita di seluruh dunia.

“Apabila sebut warga KKLW, ia termasuklah agensi dan jabatan yang berkaitan dengan kementerian ini seperti Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dan juga penduduk di kampung-kampung.

“Biasanya kita sambut Hari Merdeka secara bersendirian, tetapi hari ini kita sambut serentak. Kita tunjukkan solidariti kita untuk semangat kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program “Moh Ngeteh Hari Kebangsaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah” di Maktab Rendah Sains MARA Pengkalan Chepa, dekat Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, negara tidak akan mencapai kemerdekaan kalau tidak melalui semangat solidariti dan perpaduan dalam kalangan rakyat dan pemimpin.

Ujar beliau, dua semangat yang tersemat dalam diri pemimpin dan rakyat itu adalah simbolik kepada kemerdekaan yang dikecapi sekarang.

“Apa yang generasi hari ini harus lakukan ialah mengisi kemerdekaan dengan perkara yang berfaedah dan memberi manfaat kepada negara supaya terus kekal aman dan harmoni,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap, Ismail Sabri menjelaskan, beliau telah mengeluarkan arahan kepada semua agensi dan jabatan bawah kementeriannya agar mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

Kata beliau, aktiviti akan diteruskan mulai sekarang sehingga 16 September ini dengan setiap agensi dan jabatan berkaitan digalakkan menganjurkan program sambutan tempat masing-masing.

“Yang penting hari ini adalah acara kemuncak pelancaran dan selepas ini mereka boleh adakan program bersendirian.

“Selepas itu mana-mana agensi dan jabatan yang ada perancangan sendiri mereka boleh terus menjalankan program masing-masing sehingga 16 September, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita hendak warga kementerian, termasuk kira-kira 200,000 kanak-kanak tadika yang berusia dari empat tahun ditanamkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Hari Merdeka ini.

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.