Modal hanya serendah RM10

Peserta Kursus Upcycle Kain Perca tekun menghasilkan produk kreatif mereka.

Peserta Kursus Upcycle Kain Perca tekun menghasilkan produk kreatif mereka.

BANDAR BERA – Tidak perlu mengeluarkan modal yang besar, cukup serendah RM10 sudah mampu mengaut keuntungan hampir RM100.

Sehubungan itu, seramai 30 peserta termasuk seorang lelaki terdiri dalam kalangan ibu tunggal, suri rumah, tukang jahit dan penjual aksesori wanita tidak melepaskan peluang mengikuti Kursus Upcycle Kain Perca anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang bermula semalam dan berakhir Khamis ini.

Konsultan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Shahizanan Hassan berkata, peserta hanya memerlukan kain perca sebagai bahan utama selebihnya bahan seperti butang, manik atau yang berkaitan boleh diperoleh dengan harga murah jika dibeli secara borong.

“Di negara ini, kita terkenal dengan budaya door gift (cenderahati). Ke mana sahaja kita pergi, cenderahati selalunya akan menjadi perhatian orang. Jadi, produk berasaskan kain perca ini juga boleh dijadikan cenderahati untuk dipasarkan.

“Produk ini boleh diletakkan pada kotak, botol atau bekas tertentu sebagai hiasan, atau dijadikan salah satu aksesori untuk wanita dan kanak-kanak,” katanya kepada pemberita di sini.

Menurutnya, penghasilan produk kreatif ini memerlukan kesabaran dan kerajinan bagi menghasilkan ia dalam jumlah yang banyak.

Beliau berkata, produk seumpama ini sering mendapat perhatian dan peserta hanya perlu kreatif menghasilkan ia supaya tidak menjadi produk bermusim semata-mata.

“Saya sudah sediakan contoh, tetapi peserta kena kreatif dengan konsep dipilih termasuk pilihan warna kain perca, penggunaan butang atau manik agar produk dihasilkan kelihatan menarik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai MARA daerah, Syed Mohd Hafiz Syed Anuar berkata, pemilihan kursus berkaitan kain perca itu adalah berdasarkan permintaan peserta dan penawaran dalam pasaran.

Menurutnya, melalui kursus ini, diharap peserta dapat menyingkirkan fenomena produk bermusim sebaliknya memastikan ia sentiasa boleh didapati di pasaran.

 

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.