Majlis Semarak Ilmu Yayasan Pelajaran MARA & Maybank Islamic Berhad

oleh Ahmad Soffian
media@mara.gov.my

DSCN7598

Shah Alam 19 Ogos 2016: Yayasan Pelajaran MARA (YPM) meneruskan lagi kerjasama dengan Maybank Islamic Berhad dengan peruntukan RM2 juta bagi membantu pendidikan anak-anak asnaf di bawah program Semarak Ilmu 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, seramai 853 anak asnaf dari sekolah rendah dan menengah yang terpilih di seluruh negara ditaja oleh Maybank Islamic untuk mengikuti pelbagai program diaturkan seperti kelas tuisyen.

Beliau berkata, pendidikan Islam turut diberi keutamaan dengan pelajar yang tidak berpeluang menduduki kelas bimbingan akan menghadiri kelas hafazan dikendalikan bersama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Raudhatul Huffaz.

“Ia bertujuan membantu, memantau dan membimbing pelajar miskin bagi memastikan pencapaian pelajaran mereka dapat dinilai dan ditingkatkan secara berterusan sehingga ke peringkat pengajian terakhir mereka sama ada sijil kemahiran, diploma atau ijazah.

“Sebelum ini, lima pelajar asnaf yang dibimbing menerusi program Semarak Kasih mendapat tajaan sepenuhnya oleh Maybank Islamic bagi mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi,” katanya ditemui selepas pelancaran Program Semarak Ilmu dan penyerahan cek daripada Maybank Islamic kepada YPM, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah MARA Keusahawanan Datuk Salmah Hayati Ghazali.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, program Semarak Ilmu diyakini memberi peluang kepada pelajar kurang berkemampuan untuk terus maju di dalam bidang pelajaran setanding dengan pelajar lain.

“Kami sentiasa menyokong usaha YPM menerusi program bantuan pendidikan seperti ini dan pembabitan sebegini adalah sejajar dengan misi Kumpulan Maybank bagi menginsankan perkhidmatan kewangan dengan mendekati masyarakat setempat,” katanya.

 

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.