PERLUAS DAN TINGKATKAN PERANAN UNTUK BANGSA

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Azhar Abdul Manaf (dua dari kanan) sebagai simbolik pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-59 Peringkat MARA. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Salmah Hayati Ghazali (kanan sekali) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Abas (kiri sekali). Foto oleh Ashraff BTP.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad (dua dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang kepada Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA, Azhar Abdul Manaf (dua dari kanan) sebagai simbolik pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-59 Peringkat MARA. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Salmah Hayati Ghazali (kanan sekali) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Abdul Halim Abas (kiri sekali). FOTO oleh Ashraff BTP.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Warga MARA perlu menghayati Sambutan Bulan Kemerdekaan dengan menerima cabaran untuk berubah melalui pelbagai inisiatif dan inovasi demi kecemerlangan agensi harapan bangsa ini.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad, Perdana Menteri telah pun mengumumkan agar MARA fokus membangunkan usahawan dan modal insan negara, melabur bagi menjana pendapatan serta mengukuhkan tanggungjawab sosial korporat yang akan memberi manfaat besar kepada Bumiputera dalam mendepani 50 tahun akan datang.

“Justeru, warga MARA serta subsidiari perlu menyahut inisiatif ini dengan keluar daripada zon selesa dengan berusaha untuk menjana pelbagai idea serta pandangan dalam meningkatkan lagi peranan MARA,” katanya.

Ibrahim berkata, antaranya, kesemua anak syarikat perlu jelas terhadap penubuhan MARA Corp yang merupakan the new game changer of MARA dengan melipat gandakan usaha untuk menjana pendapatan.

“Penubuhan MARA Corp. melalui penstrukturan anak-anak syarikat di bawah satu bumbung perlu difahami bukan sekadar berorientasikan pelaburan sahaja tetapi melalui penjanaan pendapatan yang diperoleh akan mampu meluaskan lagi peranan kita untuk membangunkan Bumiputera di segenap sudut,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, dalam mengukuhkan tanggungjawab sosialnya, Yayasan Pelajaran MARA turut dijenamakan semula sebagai Yayasan MARA dengan skop dan fungsi yang lebih meluas.

“Yayasan MARA merupakan tapak endownment fund yang mana keuntungan daripada pelaburan tabung ini akan disalurkan semula bukan sahaja bagi manfaat pendidikan malah meliputi program keusahawanan kepada Bumiputera,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian di Perhimpunan Bulanan Sempena Bulan Kemerdekaan Bersama Ketua Pengarah MARA anjuran bersama Bahagian Dasar & Perancangan Strategik (BDPS) dan FITEC Sdn. Bhd.

Menyentuh kepada peranan FITEC sebagai subsidiari MARA, Ibrahim berkata syarikat ini perlu unggul dalam memayungi Bumiputera melalui peluang penjanaan pendapatan dalam industri perabot.

“FITEC perlu terkehadapan dalam menerajui industri ini dengan meneroka pelbagai peluang berkaitan apatah lagi industri ini mempunyai pasaran eksport melebihi RM2 bilion setahun sedangkan penglibatan Bumiputera amat kurang sekali iaitu sekitar 2 hingga 3 peratus sahaja,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ibrahim turut mengingatkan peri pentingnya ketelitian MARA merancang masa hadapan dengan melihat pelbagai program baru yang selari dengan kehendak dan tuntutan semasa.

“BDPS perlu menerajui peranan ini melalui pewujudan dasar yang strategik termasuk mengubahsuai peranan anak-anak syarikat MARA kerana situasi masa kini telah berubah yang mana program yang kita atur tidak lagi boleh bersandarkan kepada supply oriented sebaliknya kini perlu memfokuskan kepada demand oriented,” tegasnya lagi.

Ibrahim menambah, MARA turut mengaplikasi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam memperkasakan lagi peranan dan tanggungjawab agensi ini seperti menjenamakan semula Medan MARA dengan pengkorporatan pengurusan bangunannya.

“Melalui strategi ini, kita bukan sahaja fokus kepada perubahan pengurusan fizikal tetapi turut meliputi aspek mentaliti penyewa dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih bermutu dan mesra pelanggan,” ulas beliau.

Beliau turut menegaskan kepada semua warga MARA agar dapat menunaikan tugas yang diamanahkan dengan penuh berintegriti dan bertanggungjawab.

“Sesungguhnya fokus dan komitmen yang jitu adalah dituntut apatah lagi tugas kita amat kritikal dalam memastikan kelangsungan kejayaan bangsa dan In Sha Allah usaha yang murni ini pasti akan mendapat keberkatan daripadaNya,” tegasnya lagi.

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.