Kolej Mara Banting catat keputusan terbaik IB

image

ALEXANDER NANTA LINGGI (depan, tengah) dan Ibrahim Ahmad (depan, enam dari kanan) bersama penerima anugerah khas dalam majlis Graduasi KMB Ke-24 di PICC, Putrajaya semalam. Mingguan/RASHID

PUTRAJAYA 13 Ogos – Kolej Mara Banting (KMB) mencatatkan keputusan antara yang terbaik di peringkat antarabangsa bagi program diploma dan sijil International Baccalaureate (IB) 2016 dengan purata lulus keseluruhan dicapai adalah 96.4 peratus berbanding purata lulus untuk IB dunia, 79.26 peratus

Seramai 363 pelajar KMB sesi 2014/2016 mengikuti program IB dan lima daripada mereka berjaya mendapat 42 mata daripada 45 mata penuh.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, keseluruhan pelajar KMB IB berjaya melepasi syarat tajaan melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti terkemuka di dalam dan luar negara.

“Seramai 21 peratus pelajar mendapat tajaan pengajian untuk program berkembar dan 13.2 pe­ratus lagi mendapat tajaan pengajian di universiti dalam negara,” katanya ketika berucap dalam majlis Graduasi KMB Ke-24 di Pusat Konvensyen Putrajaya Antarabangsa (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad.

Tiga anugerah khas iaitu Anugerah Kecemerlangan Khidmat Masyarakat diberikan kepada Azznur Azzraf Md. Sofian; Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan, Muhammad Amirul Aiman Rahasnan dan Anugerah Kecemerlangan Ke­seluruhan, Muhammad Faris Anuar.

Program IB yang berpusat di Geneva, Switzerland merupakan program komprehensif yang memberi peluang kepada pelajar untuk menyambung pelajaran ke peringkat universiti di luar negara iaitu di Ireland, United Kingdom, Australia, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan India.

Menurut Alexander, Mara memutuskan pelajar yang mendapat 33 mata IB ke atas akan ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke luar negara berbanding sebelum ini hanya yang mendapat 36 mata IB mendapat tawaran itu.

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.