PERLUAS PENGLIBATAN USAHAWAN BUMIPUTERA DALAM INDUSTRI HALAL

oleh Noor Rasidah Abdul Razak
media@mara.gov.my

IMG-20160809-WA0012

Rembau, 9 Ogos  – Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) hasil inisiatif MARA bakal menjadi perintis Projek Pengusaha Teras dan Naungan dalam menyediakan rantaian industri makanan halal bagi pasaran dalam dan luar negara.

Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, TPPU adalah platform bagi membantu usahawan luar bandar dalam mempromosikan produk-produk mereka dengan lebih meluas.

“Kehadiran taman ini yang memfokuskan kepada kluster makanan sudah pasti merancakkan lagi industri halal negara dan saya menyeru para usahawan untuk merebut peluang penerokaan industri ini yang menjanjikan nilai eksport lebih daripada RM40 billion setahun,” katanya.

Tambahnya lagi, MARA telah menyediakan pelbagai kemudahan dan fasiliti dengan mengintegrasikan bahagian-bahagian di sektor usahawannya mengikut skop masing-masing dengan membentuk satu Transformasi Ekosistem Halal yang memberi manfaat kepada usahawan Bumiputera.

“Antaranya adalah dengan mewujudkan beberapa pusat industri lain seperti Kompleks Industi Makanan, Inkubator Teknologi Makanan sebagai pusat latihan dan pembangunan usahawan baru dalam bidang makanan selain penjenamaan semula Kawasan Industri MARA kepada Pusat Halal Park yang berperanan sebagai pusat pemprosesan, penghasilan dan pemasaran produk halal usahawan Bumiputera,” ulasnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd dengan Elegance Global Trading Sdn Bhd dan Next Generation Movement bagi Pengilangan Produk di Pedas Halal Park, Rembau, Negeri Sembilan.

Turut  hadir ke majlis adalah Pengerusi Eksekutif Muslim Best Marketing (M) Sdn Bhd, Dato’ Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad dan Penasihat (Tugas-Tugas Khas) Jabatan Ketua Pengarah MARA, Datuk Mohd Rosdi Ismail serta Pengarah Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastruktur MARA, Zulfikri Osman.

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.