Mohamad Sahar selamat tiba ke tanah air

ISTERI kepada Mohamad Sahar, Hawiyah Ahmad (kanan) bersama anak mereka, Atikah (tengah) dan Amirah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

ISTERI kepada Mohamad Sahar, Hawiyah Ahmad (kanan) bersama anak mereka, Atikah (tengah) dan Amirah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SEPANG: Pesakit angin ahmar Mohamad Sahar Mhd Noor yang sebelum ini menjalani pembedahan di bahagian otak di Hospital Charing Cross di barat London, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Mohamad Sahar, 57, yang juga Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Negeri Sembilan sebelum ini dilaporkan diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 4 Julai lalu, tiba di tanah air pada jam 8.22 pagi dengan penerbangan pesawat Malaysia Airlines.

Sebaik tiba di KLIA, Mohamad Sahar dimasukkan ke ambulans untuk dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur bagi meneruskan rawatan lanjut.

Kepulangannya turut diiringi isteri, Hawiyah Ahmad, 57, serta anaknya, Muhamad Fahdli, 30; Amirah, 29, dan Atikah, 27.

Turut bersama mereka ialah Pengarah MARA London, Ahmad Izlan Idris serta pasukan doktor dan jururawat dari Malaysia.

Hadir sama menyambut kepulangan mereka, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azhar Abdul Manaf.

Sementara itu, Hawiyah berkata, sepanjang penerbangan pulang ke Malaysia, keadaan suaminya stabil serta ada menunjukkan maklum balas positif.

“Alhamdulillah, suami dalam keadaan stabil. Ketika dalam pesawat, dia ada menggerakkan tangan seolah-olah tahu akan pulang ke Malaysia.

“Keadaannya juga ada menunjukkan perubahan, dia boleh genggam tangan, mata pun buka namun belum boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di KLIA di sini hari ini.

Pada 4 Julai lalu, Mohamad Sahar bersama keluarga tiba di London bagi menghadiri majlis graduasi anak bongsunya, Atikah, yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University, selain menyambut Aidilfitri.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/181314

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.