Ketua Kerani KKTM dibawa pulang

MOHAMAD Sahar Noor terlantar di sebuah hospital di London. - Foto Ihsan Pembaca

MOHAMAD Sahar Noor terlantar di sebuah hospital di London. – Foto Ihsan Pembaca

LONDON: Penerbangan MH03 yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, bukanlah seperti biasa.

Satu bahagian pesawat Malaysia Airlines itu diubahsuai dengan dilengkapi peralatan perubatan dan kemudahan seperti wad bagi menempatkan pesakit angin ahmar, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang dibawa pulang untuk menerima rawatan lanjut di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

Mengiringi Mohamad Sahar dalam penerbangan selama 13 jam itu ialah pasukan doktor dan jururawat yang tiba dari Malaysia, selain ahli keluarganya, iaitu isterinya, Hawiyah Ahmad, 57, serta anaknya, Muhamad Fahdli, 30; Amirah, 29, dan Atikah, 27.

Pengarah MARA London, Ahmad Izlan Idris, turut mengiringi Mohamad Sahar yang juga Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Negeri Sembilan.

Pesawat itu dijangka tiba di KLIA, esok.

Mohamad Sahar diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu ketika dalam perjalanan untuk menghadiri majlis graduasi anak bongsunya, Atikah, yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University, selain menyambut Aidilfitri bersama keluarganya, di sini.

Beliau kemudian dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Charing Cross Hospital, barat London dan menjalani pembedahan di bahagian otak kerana berlaku pendarahan, sebelum dimasukkan ke Unit Hyper Acute Stroke selama lebih sebulan bagi menjalani rawatan dan terapi.

Pada 28 Julai lalu, keluarganya memohon bantuan rakyat Malaysia mendoakan Mohamad Sahar supaya sembuh, selain membantu dari segi kewangan bagi membiayai kos perubatan yang berjumlah RM245,764 menerusi https://www.gofundme.com/saharnoor.

Sementara itu, Mohamad Sahar menunjukkan perkembangan positif walaupun tidak sedar sepenuhnya, apabila dilihat menggaru kepala dengan tangan kiri, selain mengangkat kedua-dua tangannya, semalam.

Beliau turut membuka mata beberapa kali apabila mendengar suara anak kesayangannya.

Antara pelawat yang menziarahi Mohamad Sahar, semalam, ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom dan Eire, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi serta isteri, Datin Rosilawati Ab Rafar; kakitangan Suruhanjaya Tinggi dan beberapa rakyat Malaysia di London yang membantu mengumpul dana membiayai penerbangan pulang serta mengesyorkan penghantaran pasukan perubatan dalam penerbangan berkenaan.

Rasidi berkata, beliau gembira melihat perkembangan positif ditunjukkan Mohamad Sahar dengan wajah semakin berseri.

“Saya dimaklumkan Hospital Charing Cross memberi layanan terbaik kepada Mohamad Sahar, selain persiapan membawanya pulang juga berjalan lancar,” katanya.

Penerbangan pulang Mohamad Sahar dipermudahkan oleh penderma melalui kempen Gofundme yang diusahakan oleh rakan keluarga, MARA, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, kerajaan negeri Negeri Sembilan dan sukarelawan yang berada di London.

Sementara itu, Hawiyah bersyukur dan berterima kasih kepada penderma, selain menganggap musibah yang berlaku sebagai ujian dan reda dengan ketentuan Allah.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/181213

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.