Doakan Mohamad Sahar cepat sembuh

Mohamad Sahar ketika dirawat di London dan Hawiyah (kiri) bersama anaknya Amirah  (kanan) dan Atikah  (tengah) dari ketika tiba di KLIA pagi tadi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Mohamad Sahar ketika dirawat di London dan Hawiyah (kiri) bersama anaknya Amirah (kanan) dan Atikah (tengah) dari ketika tiba di KLIA pagi tadi. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor

Sepang: Pesakit angin ahmar Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang sebelum ini menjalani pembedahan bahagian otak di Hospital Charing Cross di barat London selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 8.22 pagi hari ini.

Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Negeri Sembilan itu sebelum ini dilaporkan diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu, tiba ke tanah air dengan penerbangan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) MH03.

Sebaik tiba di KLIA, Mohamad Sahar dimasukkan ke dalam ambulans serta dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur untuk meneruskan rawatan lanjut di sana.

Kepulangannya ke tanah air yang mengambil masa 13 jam penerbangan turut diiringi isteri, Hawiyah Ahmad, 57, serta tiga anak, Muhamad Fahdli, 30; Amirah, 29, dan Atikah, 27.

Turut bersama mereka ialah Pengarah MARA London Ahmad Izlan Idris serta pasukan doktor, jururawat serta paramedik dari Malaysia.

Hadir sama menyambut kepulangan mereka, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Azhar Abdul Manaf, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Pilah Datuk Norhayati Omar serta pegawai dan kakitangan MARA.

Sementara itu, Hawiyah berkata, sepanjang penerbangan pulang ke Malaysia, suaminya dalam keadaan stabil serta menunjukkan maklum balas positif.

“Alhamdulillah, suami dalam keadaan stabil dan semasa dalam pesawat, dia ada menggerakkan tangan seolah-olah tahu akan pulang ke Malaysia.

“Malah, dia pun boleh menggenggamkan tangan, mata pun buka namun, belum boleh bercakap. Keadaannya juga dilihat ada perubahan positif,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di KLIA di sini hari ini.

Pada 4 Julai lalu, Mohamad Sahar bersama keluarga tiba di London bagi menghadiri majlis graduasi anak bongsunya, Atikah, yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University selain menyambut Aidilfitri.

Pada 28 Julai lalu, keluarganya memohon bantuan rakyat Malaysia mendoakan Mohamad Sahar supaya sembuh selain membantu dari segi kewangan bagi membiayai kos perubatan yang berjumlah RM245,764 menerusi https://www.gofundme.com/saharnoor.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/157644

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.