MARA Biaya Kos Rawatan, Bawa Pulang Mohamad Sahar

13652888_165899480486807_5199872969625104676_o

KUALA LUMPUR – Kos rawatan dan membawa pulang ketua kerani Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Negeri Sembilan, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang diserang angin ahmar dan kini terlantar di Charing Cross Hospital, West London akan ditanggung Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara yang akan dibiayai ialah perkhidmatan doktor dan jururawat dan peralatan perubatan bagi keperluan Mohammad Sahar sepanjang perjalanan pulang ke tanah air.

Menurutnya, pihak hospital sedia memberikan pelepasan paling awal pada 1 Ogos ini bagi urusan membawa pulang Mohamad Sahar, tetapi dengan secara bersyarat.

“Antara yang ditetapkan ialah hal-hal berkaitan penjagaan kesihatan yang dinyatakan dipenuhi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ketika perjalanan membawa pulang beliau ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Kuala Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamad Aris.

Beliau berkata, Mara telah pun meluluskan peruntukan, bagaimanapun, kos sebenar belum diberikan secara terperinci oleh hospital.

“Dalam hal ini, keluarga tidak perlu bimbang kerana kita akan penuhi semua syarat yang ditetapkan dan dalam masa sama akan berbincang dengan pihak penerbangan untuk mendapatkan doktor pesawat.

“Setakat ini beliau masih koma, jadi kehadiran doktor dan jururawat dalam pesawat penting untuk memantau kalau ada kecemasan dan sebagainya. Sekiranya berlaku apa-apa, pihak hospital tidak bertanggungjawab apatah lagi penerbangan London ke Malaysia yang memakan masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya berbesar hati dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu sehingga mereka berjaya mencapai kutipan yang melebihi jumlah sasaran.

“Selepas hebah di media sosial mengenai kutipan derma untuk Mohamad Sahar, banyak sumbangan yang dihulurkan dan kita berterima kasih kepada mereka yang terlibat membantu,” katanya.

Terdahulu, Mohamad Sahar yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kanan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Rembau dilaporkan diserang angin ahmar selepas 20 minit keluar daripada Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu.

Beliau yang sebelum itu dikatakan berhasrat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di samping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Brunel University, London.

Sumber : http://siemens-melayumaju.blogspot.my/2016/08/mara-biaya-kos-rawatan-bawa-pulang.html

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.