MARA tanggung kos STG30,000 rawatan Mohamad Sahar

13600128_1090172141018836_7469936352282088132_n

KUALA LUMPUR : Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan pendahuluan sebanyak STG30,000 (RM160,281.47) bagi membolehkan Mohamad Sahar Mohd Noor mendapatkan rawatan di Hospital Charing Cross dekat Barat London. Mohamad Sahar yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir Kanan di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Rembau diserang angin ahmar sebaik tiba di Lapangan Terbang Heathrow, London pada 4 Julai lalu bagi menghadiri majlis graduasi anaknya. Menurut maklumat yang diterima Pengarah MARA United Kingdom (UK), Ahmad Izlan Idris memaklumkan, sehingga kini, Mohamad Sahar berada dalam keadaan koma tetapi tidak kritikal.

Oleh itu, pihak hospital berkenaan akan memberi pelepasan seawal 1 Ogos depan bagi membolehkan Mohamad Sahar dibawa pulang ke Malaysia. Namun begitu, ia bergantung kepada keadaan kesihatannya. Dalam satu kenyataan hari ini, MARA memberitahu akan sedaya upaya membantu keluarga Mohamad Sahar dalam menguruskan aturan termasuk membabitkan proses membawa pulang mengambil kira kriteria yang ditetapkan hospital berkenaan. Prihatin terhadap kebajikan warga kerjanya, MARA akan melihat segala bantuan yang diperlukan Mohamad Sahar sehingga beliau selamat kembali ke Malaysia. Selain itu, MARA turut melancarkan kutipan derma untuk disumbangkan kepada keluarga Mohamad Sahar. Dalam pada itu, MARA mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, rakyat Malaysia di UK, media dan semua pihak yang terbabit memberikan bantuan kepada Mohamad Sahar sejurus berita mengenainya tersebar luas.

http://www.bharian.com.my/node/178458

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.