MARA biayai kos rawatan dan bawa pulang Mohamad Sahar

Ismail Sabri

Ismail Sabri

KUALA TERENGGANU – Kos rawatan dan membawa pulang ketua kerani Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Negeri Sembilan, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang diserang angin ahmar dan kini terlantar di Charing Cross Hospital, West London akan ditanggung Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara yang akan dibiayai ialah kos hospital di London, doktor dan jururawat serta peralatan perubatan bagi keperluan Mohammad Sahar sepanjang perjalanan pulang ke tanah air.

Menurutnya, pihak hospital sedia memberikan pelepasan paling awal pada 1 Ogos ini bagi urusan membawa pulang Mohamad Sahar, tetapi dengan secara bersyarat.

“Antara yang ditetapkan ialah hal-hal berkaitan penjagaan kesihatan yang dinyatakan dipenuhi untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini ketika perjalanan membawa pulang beliau ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Kuala Terengganu yang diadakan di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan Naib Ketua Pemuda Umno Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamad Aris.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Selangkah lagi bawa ayah pulang’]

Beliau berkata, MARA telah pun meluluskan peruntukan, bagaimanapun, kos sebenar belum diberikan secara terperinci oleh hospital.

“Dalam hal ini, keluarga tidak perlu bimbang kerana kita akan penuhi semua syarat yang ditetapkan dan dalam masa sama akan berbincang dengan pihak penerbangan untuk mendapatkan doktor pesawat.

“Setakat ini beliau masih koma, jadi kehadiran doktor dan jururawat dalam pesawat penting untuk memantau kalau ada kecemasan dan sebagainya. Sekiranya berlaku apa-apa, pihak hospital tidak bertanggungjawab apatah lagi penerbangan London ke Malaysia yang memakan masa panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya berbesar hati dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sudi menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu sehingga mereka berjaya mencapai kutipan yang melebihi jumlah sasaran.

“Terima kasih kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atas keprihatinan Kerajaan Negeri Sembilan menanggung kos membawa pulang Mohamad Sahar. Begitu juga sumbangan yang diterima dari orang ramai selepas dihebah menerusi media sosial yang banyak membantu.

“Saya sangat menghargai keprihatinan semua pihak untuk bersama-sama MARA membantu Mohamad Shahar dalam menyelesaikan kos rawatan dan kos membawa pulang ke Malaysia. Marilah sama-sama kita berdoa agar Mohamad Shahar segera sembuh,” katanya.
Terdahulu, Mohamad Sahar dilaporkan diserang angin ahmar selepas 20 minit keluar daripada Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heathrow pada 4 Julai lalu.

Beliau yang sebelum itu dikatakan berhasrat menyambut Aidilfitri bersama keluarga di samping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Brunel University, London.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mara-biayai-kos-rawatan-dan-bawa-pulang-mohamad-sahar-1.547052

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.