Kerajaan Negeri Sembilan Sedia Bantu Kos Rawatan Mohd Sahar

IMG-20160731-WA0087

SEREMBAN, 01 OGOS – Kerajaan Negeri Sembilan amat bersimpati dengan Mohamad Sahar Mohd Noor, 57, yang diserang angin ahmar ketika mahu melihat majlis graduasi anak perempuannya di Brunel University, London, pada 4 Julai lalu.

Mohamad Sahar yang berasal dari Kuala Pilah adalah Ketua Kerani di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Negeri Sembilan. Beliau telah diserang angin ahmar sejurus tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Heatrow menyebabkan dia terlantar di Hospital Charing Cross, West London sehingga ke hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan mewakili Kerajaan Negeri menyatakan beliau akan menambah apa yang kurang selepas ditolak bantuan £30,000 dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pungutan derma dari orang ramai bagi membawa pulang Mohamad Sahar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan majlis penutup Kursus Haji Perdana Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban, hari ini.

IMG-20160731-WA0097

Terdahulu, Menteri Besar yang memperoleh perkhabaran mengenainya dari sebuah portal (akhbar online) telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha mengurangkan beban perbelanjaan yang ketika ini sedang meningkat.

Perbelanjaan tersebut termasuk kos tiket kapal terbang, keperluan peralatan perubatan berteknologi tinggi dan perkhidmatan doktor terlatih.

Pada ketika ini, usaha membawa pulang Mohamad Sahar sedang dilakukan, namun beberapa perkara perlu diberi perhatian termasuk penjagaan rapi dari pakar perubatan ketika di dalam pesawat.

Sumber : http://n9kini.com/?p=223607

Advertisements
This entry was posted in Korporat and tagged , . Bookmark the permalink.