MARA Digital Anggerik Mall dibuka

Pelbagai produk IT dijual pada harga berpatutan di Mara Digital Anggerik Mall.

Pelbagai produk IT dijual pada harga berpatutan di Mara Digital Anggerik Mall.

SHAH ALAM – Pusat barangan teknologi maklumat (ICT) usahawan Bumiputera, MARA Digital yang diilhamkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tahun lalu melebarkan sayapnya menerusi pembukaan operasinya di Anggerik Mall di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, MARA Digital di Anggerik Mall dijalankan melalui konsep sama seperti operasi MARA Digital di Menara MARA Kuala Lumpur.

“Selaku organisasi yang sinonim dengan pembangunan usahawan Bumiputera, kehadiran pusat ini sudah pasti merancakkan lagi usaha MARA membangunkan usahawan mencipta peluang pekerjaan dan membuka lebih banyak peluang perniagaan dalam industri ICT,” katanya.

Sebelum ini, MARA Digital pertama mula beroperasi pada 8 Disember 2015 bertempat di Menara MARA Kuala Lumpur dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan ICT di bawah satu bumbung dengan jaminan ketulenan dan harga berpatutan.

Setelah tujuh bulan beroperasi, MARA Digital pertama mendapat sambutan amat menggalakkan dan berjaya mencatatkan jualan mencecah RM10 juta.

“MARA Digital Anggerik Mall ini akan menjadi pilihan atau alternatif kepada masyarakat sekitar Shah Alam, Subang, Klang, di samping mensasarkan penuntut institut pengajian tinggi berdekatan,” katanya.

Kekalkan konsep sama

Jelasnya, pusat ICT itu akan menggunakan konsep sama seperti MARA Digital terdahulu dengan melantik pihak menguruskan MARA Digital Mall (anchor tenant) yang bertanggungjawab menguruskan operasi dan usahawan menjalankan perniagaan.

“Anchor tenant yang dilantik akan membuat pembelian produk secara pukal dan seterusnya membekalkan produk tersebut kepada peniaga di pusat berkenaan, sekali gus membentuk rantaian nilai dalam kalangan usahawan MARA Digital,” katanya.

Beliau berkata, bagi menjamin mutu dan meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap produk ICT ditawarkan, setiap aktiviti di pusat tersebut akan dipantau Jawatankuasa Pemandu yang turut dianggotai wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

“Operasi MARA Digital kedua ini akan dijalankan melalui 32 kios ruang niaga di aras tanah dan 14 ruang niaga yang akan melibatkan pelbagai konsep daripada syarikat gergasi telekomunikasi serta jenama produk IT terkenal di aras satu,” katanya.

Menurutnya, MARA menerima banyak maklum balas daripada pemain industri untuk terlibat bersama di MARA Digital Anggerik Mall seperti Samsung, Lenovo, Huawei, Oppo, Asus dan Tp Link.

“Kita turut menyediakan ruang untuk syarikat telekomunikasi yang menyatakan hasrat untuk bersama-sama di MARA Digital Anggerik Mall dengan menawarkan perkhidmatan seperti pendaftaran, pembayaran bil dan sebagainya,” katanya.

Menyentuh mengenai keistimewaan diberikan kepada peniaga, Ismail Sabri berkata, MARA akan menawarkan kemudahan sedia ada seperti latihan, pembiayaan dan aktiviti bersesuaian bagi merancakkan lagi perniagaan di situ.

“Berdasarkan komen positif diterima, MARA turut merancang mewujudkan lebih banyak MARA Digital di seluruh negara dan insya-ALLAH satu lagi MARA Digital akan dibuka sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mara-digital-anggerik-mall-dibuka-1.543561

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.