Gedung MARA Digital kini dibuka di Anggerik Mall

2016-07-21-PHOTO-00006160

KUALA LUMPUR – Pusat teknologi maklumat (ICT) MARA Digital yang dilhamkan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), hujung tahun lalu mula melebarkan sayap melalui pembukaan operasi keduanya di Anggerik Mall, Shah Alam bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, MARA Digital di Anggerik Mall mempunyai konsep sama seperti MARA Digital di Menara MARA Kuala Lumpur yang menempatkan usahawan ICT Bumiputera dalam rantaian industri dalam satu premis.

“Selaku organisasi berkait rapat dengan pembangunan usahawan Bumiputera, kehadiran pusat ini sudah pasti merancakkan lagi usaha MARA dalam membangunkan usahawan.

“Ia juga berupaya mencipta peluang pekerjaan serta membuka lebih banyak peluang perniagaan di dalam industri ICT yang membantu meningkatkan pendapatan rakyat melalui perniagaan yang dijalankan,” katanya.

MARA Digital yang pertama mula beroperasi pada 8 Disember 2015, menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan ICT di bawah satu bumbung dengan jaminan ketulenan dan harga berpatutan.

Menurut Ismail Sabri, selepas tujuh bulan beroperasi, MARA Digital mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Ekoran daripada ruang perniagaan yang terhad dan permintaan masyarakat di kawasan lain terhadap produk serta perkhidmatan ini, MARA mengambil inisiatif mewujudkan MARA Digital kedua di Anggerik Mall.

“MARA Digital di Anggerik Mall menjadi pilihan atau alternatif kepada masyarakat setempat sekitar Shah Alam, Subang dan Klang di samping menyasarkan penuntut institusi pengajian tinggi awam atau swasta berdekatan.

“Konsepnya sama seperti Digital MARA yang pertama di mana ‘anchor tenant’ dilantik akan bertanggungjawab mengurus operasi serta usahawan yang menjalankan perniagaan.

“Anchor tenant dilantik membuat pembelian produk secara pukal dan membekalkan produk kepada peniaga di pusat itu, sekali gus membentuk rantaian nilai dalam kalangan usahawan MARA Digital,” katanya.

Beliau menegaskan, bagi menjamin mutu serta meningkatkan keyakinan pelanggan, setiap aktiviti di pusat itu dipantau Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai wakil daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Operasi MARA Digital di Anggerik Mall dijalankan melalui 32 kiosk ruang niaga di aras bawah dan 14 ruang niaga membabitkan pelbagai konsep daripada syarikat gergasi telekomunikasi serta jenama produk IT terkenal di Aras 1.

MARA juga merancang mewujudkan lebih banyak MARA Digital di seluruh negara.

Sumber : http://klxpress.com.my/bahasa-melayu/19-semasa/16655-gedung-mara-digital-kini-dibuka-di-anggerik-mall.html

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged , , , . Bookmark the permalink.