Peniaga bumiputera sambut baik MARA Digital@Anggerik Mall

Pekerja-pekerja MARA Digital@Anggerik Mall di Shah Alam membuat persiapan akhir menjelang pembukaan premis perniagaan elektronik dan digital itu esok. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 20 Julai 2016.

Pekerja-pekerja MARA Digital@Anggerik Mall di Shah Alam membuat persiapan akhir menjelang pembukaan premis perniagaan elektronik dan digital itu esok. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 20 Julai 2016.

Peniaga elektronik dan digital yang memulakan perniagaan di MARA Digital@Anggerik Mall, Shah Alam menyambut baik usaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah membuka cawangan di situ.

Mereka yang seratus peratus Bumiputera merebut peluang itu dengan menjalankan perniagaan produk berasaskan barangan elektronik, alat komunikasi dan digital walaupun terpaksa bersaing dengan bukan Bumiputera.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Ahec Maju Sdn. Bhd., Azhar Hakimi Shahri, sebaik mendapat tahu Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hendak membuka cawangan kedua MARA Digital selepas yang pertama di Bangunan MARA, Kuala Lumpur, beliau terus mendaftar untuk mendapatkan satu tapak kios.

Beliau yang membuka kedai perkhidmatan perisian dan perkakasan telefon bimbit serta komputer riba di Bandar Tasik Puteri, Rawang, telah membuat persiapan untuk berniaga di di MARA Digital@Anggerik Mall.

Katanya, beliau telah memulakan perniagaan itu sejak dua minggu lalu dan pada awalnya ada sambutan dalam kalangan pelanggan yang terdiri daripada kakitangan jabatan, orang awam dan pelajar.

“Sewa bulanan juga agak murah di sini berbanding di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Ia sangat bertepatan dengan Bumiputera yang baru memulakan perniagaan berasaskan alat komunikasi dan digital.

“Perniagaan ini akan mula sepenuh masa dari jam 10 pagi hingga 10 malam mulai esok, iaitu selepas majlis perasmiannya oleh menteri,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di ruang bawah Anggerik Mall, Shah Alam, hari ini.

Tinjauan pagi ini mendapati keadaan agak sibuk dengan peniaga menghiaskan kios masing-masing, termasuk ada yang menyusun atur produk yang baharu sampai dari agen mahupun kilang.

Beberapa pelanggan sudah mula membeli barangan menjelang pembukaan MARA Digital@Anggerik Mall esok.

Beberapa pelanggan sudah mula membeli barangan menjelang pembukaan MARA Digital@Anggerik Mall esok.

Terdapat kira-kira 30 kios yang setiap satu berkeluasan 8 kaki kali 10 kaki atau 3.2 meter kali 4 meter.

Jelas Azhar, keluasan tapak kios yang lengkap dengan cermin pameran itu dianggap cukup luas dan selesa, bahkan tidak ada mana syarikat atau agensi yang bersedia menanggup kos pemasangan cermin pameran untuk meletakkan barangan jualan.

“Saya dan peniaga Bumiputera hanya membawa masuk barang atau produk komunikasi sahaja. Semua peralatan di kios seperti meja dan kerusi disediakan oleh pihak MARA.

“Terima kasih MARA kerana prihatin dengan nasib golongan Bumiputera berpendapatan rendah untuk mencari sumber pendapatan melalui perniagaan,” kata pemegang Ijazah Perniagaan dan Pemasaran ini.

Seorang peniaga, Nurul Aishahira Sarudin menyusun kad sim yang digunakan dalam peranti telekomunikasi.

Seorang peniaga, Nurul Aishahira Sarudin menyusun kad sim yang digunakan dalam peranti telekomunikasi.

Ismail Sabri akan merasmikan pembukaan MARA Digital@Anggerik Mall esok.

Rakannya yang hanya mahu dikenali sebagai Afzal pula menyifatkan, keputusan Kementerian itu sekurang-kurangnya dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak muda terutama Bumiputera lepasan institusi pengajian tinggi (IPT).

Daripada menganggur, katanya, lebih baik berniaga alat komunikasi walaupun dengan modal kecil kerana semua kemudahan telah disediakan oleh kementerian itu melalui agensinya, MARA.

Beliau yang menyediakan perkhidmatan membaiki telefon bimbit dan komputer riba tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu dan dengan wang yang disimpan selama ini dijadikan modal untuk memulakan perniagaan di situ.

“Soal pelanggan di sini tidak menjadi masalah. Ia dikunjungi orang ramai seawal 10 pagi hingga bangunan Anggerik Mall ini tutup pada jam 10 malam.

“Tambahan pula, setiap hari di tempat meletak kereta di depan bangunan ini ada jualan Food Truck bermula jam 6 petang hingga 12 malam.

“Orang ramai termasuk pelajar universiti yang datang menikmati makanan di luar bangunan ini, akan masuk ke ruang MARA Digital untuk membeli alat komunikasi. Mereka bakal menjadi pelanggan tetap kami nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber : http://malaysiagazette.com/ms/nasional/peniaga-bumiputera-sambut-baik-MARA-digitalanggerik-mall

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain and tagged . Bookmark the permalink.