MARA sasar lahir dua juta usahawan dalam tempoh 50 tahun

A34T0260

KUALA LUMPUR, Isnin – Majlis Amanah Rakyat (MARA) mensasarkan untuk melahirkan dua juta usahawan dalam tempoh 50 tahun akan datang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, ia tidak mustahil dicapai kerana seramai sejuta usahawan dilahirkan sejak MARA ditubuhkan pada 1966.

“MARA mempunyai pelbagai program berterusan dalam menggalakkan rakyat negara ini menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan secara berterusan.

“Bersesuaian dengan sambutan ulang tahun ke-50 MARA tahun ini, kita meletak sasaran menggandakan angka itu kepada dua juta usahawan menjelang tahun 2066,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian UniKL Business School dan Sambutan Hari Raya MARA 2016, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa; Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad dan Pengerusi UniKL, Datuk Dr Adham Baba.

MARA adalah sebuah agensi Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah yang ditubuhkan pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera pertama pada tahun sebelumnya.

Sumber : http://www.ismaweb.net/2016/07/mara-sasar-lahir-dua-juta-usahawan-dalam-tempoh-50-tahun/

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.