MARA tawar pembiayaan, khidmat nasihat perniagaan kepada usahawan ‘food truck’

Mara turut menyediakan Skim Khidmat Nasihat Perniagaan kepada usahawan trak makanan yang menghadapi masalah atau mahu meningkatkan prestasi dan produktiviti diri mereka. foto hiasan

Mara turut menyediakan Skim Khidmat Nasihat Perniagaan kepada usahawan trak makanan yang menghadapi masalah atau mahu meningkatkan prestasi dan produktiviti diri mereka. foto hiasan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menawarkan Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan (SPiM) kepada para usahawan perniagaan bergerak yang menggunakan kenderaan, kontena, kabin atau karavan sejak 11 Mei lepas.

Timbalan Pengarah 1, Bahagian Pembiayaan Perniagaan Mara Nor Zaini Abu Kassim berkata antara kemudahan disediakan dalam pembiayaan SPiM itu ialah pembelian harta tetap iaitu mesin atau peralatan, pengubahsuaian premis perniagaan dan pemberian modal pusingan.

“Had pembiayaan diberikan untuk skim ini ialah RM250,000 untuk syarikat milikan tunggal atau perkongsian manakala RM500,000 bagi syarikat sendirian,” katanya kepada Bernama di sini.

Nor Zaini berkata mereka yang memohon pembiayaan itu perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan, antaranya mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang perniagaan dan perusahaan yang dijalankan serta pernah menjalankan perniagaan kurang daripada enam bulan, selain dikehendaki mengikuti kursus keusahawanan anjuran Mara atau agensi-agensi lain yang diiktiraf.

Beliau berkata Mara turut menyediakan Skim Khidmat Nasihat Perniagaan kepada usahawan trak makanan yang menghadapi masalah atau mahu meningkatkan prestasi dan produktiviti diri mereka.

“Bantuan daripada skim ini turut merangkumi bantuan dari segi promosi, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pembangunan konsep, pemasaran dan juga ‘Business Coaching’.

“Khidmat nasihat ini dapat membantu para usahawan untuk menyemai keyakinan diri dan bagaimana untuk menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan dalam perniagaan ini,” katanya.

Nor Zaini berkata Business Coaching ialah kaedah bimbingan untuk meningkatkan keupayaan dan potensi seorang usahawan sama ada baru atau usahawan yang berpengalaman, mempelajari selok-belok perniagaan.

“Kaedah bimbangan merangkumi pengurusan dan pentadbiran perniagaan, memahami pasaran, proses kerja sesuatu tugas dan bagaimana untuk menjadikannya lebih efektif dan cekap, perkembangan perniagaan, motivasi dan pelbagai lagi,” katanya.

— BERNAMA

Sumber : http://malaysiagazette.com/ms/nasional/mara-tawar-pembiayaan-khidmat-nasihat-perniagaan-kepada-usahawan-food-truck

Advertisements
This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.