MARA Digital Anggerik Mall beroperasi sepenuhnya lepas Aidilfitri

Gambar ihsan MERDEKA ONLINE

Gambar ihsan MERDEKA ONLINE

SHAH ALAM 30 Jun – Kesemua 52 kios di pusat barangan teknologi maklumat Bumiputera, Mara Digital Anggerik Mall di sini dijangka beroperasi sepenuhnya selepas Aidilfitri.

Pengarah Urusan Interlink Impact Holding Sdn. Bhd., Amizar Abu Adam yang menguruskan Mara Digital Mall berkata, sehingga kini, sebanyak 70 peratus peniaga telah memeterai perjanjian perniagaan di situ.

“Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan akan merasmikan Mara Digital Mall bulan depan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis ‘Eratkan Jalinan, Semarakkan Syawal’ yang disempurnakan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari malam tadi.

Mara Digital Anggerik Mall merupakan cawangan kedua selepas pusat pertama dibuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Pada Disember tahun lepas, Ismail Sabri dilaporkan berkata Mara Digital Mall akan diperluas di setiap ibu negeri seluruh negara tahun ini untuk memberi peluang kepada lebih ramai golongan Bumiputera melibatkan diri dalam pasaran digital dan teknologi maklumat.

Amizar berkata, para peniaga di MARA Digital Anggerik Mall akan menikmati pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan sehingga perniagaan mereka stabil dan mendapat keuntungan.

Mengenai kelewatan pembukaan pusat itu yang sepatutnya bulan ini, beliau berkata, ia disebabkan Interlink Impact Holding hanya mendapat kelulusan untuk menguruskan pusat itu pada hujung bulan lepas.

“Kita cuba percepatkan segala persiapan. Kita sasarkan untuk menarik kira-kira 60 peratus golongan berusia 40 tahun ke bawah yang menetap di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya untuk mengunjungi pusat ini.

“Secara tidak langsung kita juga ingin membantu memajukan Anggerik Mall ini yang kurang dikunjungi pelanggan walaupun telah beroperasi selama 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata, Mara Digital Anggerik Mall turut melibatkan penyertaan syarikat telekomunikasi seperti Maxis, Celcom dan DiGi serta syarikat pengeluar alat telekomunikasi terkenal iaitu Samsung.

Beberapa aktiviti dan promosi hebat bakal dilaksanakan di Mara Digital Anggerik Mall seperti cabutan bonanza berupa barangan dan produk ICT serta beberapa hadiah misteri yang bakal dimenangi oleh pengunjung dan pembeli bertuah, tambahnya. – BERNAMA

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-digital-anggerik-mall-beroperasi-sepenuhnya-lepas-aidilfitri-1.348591#sthash.AuIKxbK6.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pelaburan, Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: