MARA tampil pereka muda, Kolaborasi bersama konsultan fesyen London

mara in fashion 1

FESYEN merupakan industri yang sedang pesat berkembang pada masa kini. Ekoran daripada perkembangan industri ini pelbagai jenama fesyen tempatan telah muncul bagi memenuhi permintaan pasaran.
MARA tidak terkecuali mengambil pendekatan dan inisiatif yang bersesuaian bagi membantu pereka-pereka muda tempatan dengan mengadakan program MARA In Fashion (MiF) 2015/2016 yang telah bermula pada bulan Ogos 2015 sehingga Februari 2016.
Program ini bertujuan bagi membentuk pereka-pereka muda tempatan ini menjadi usahawan yang berkemahiran, berkeyakinan, inovatif, ke hadapan, unik dan seiring dengan kebangkitan pereka muda Asia dan dunia.
Kesinambungan daripada kursus MiF yang melibatkan empat fasa pembangunan usahawan dalam rekaan fesyen, MARA seterusnya mengorak langkah bagi melaksanakan MARA in Fashion Runway 2016 dan memberi ruang kepada pereka-pereka muda tempatan mengetengahkan bakat, kreativiti serta karya mereka di pentas peragaan.
MiF merupakan platform kepada peserta dalam usaha meletakkan nama mereka sebaris dengan pereka-pereka tempatan yang lain.
Empat usahawan terbaik daripada program MARA in Fashion Runway 2016, iaitu Nadd Hassan, Abim Hassan, Danial Arif dan Hazzer Wan Lee telah diberi peluang bagi mempersembah koleksi fesyen eksklusif serta pameran di Muslim Lifestyle Show pada 30 April 2016.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA, Yuhaniz Mohamad Padil berkata, program di London ini adalah merupakan platfom permulaan yang ditaja oleh MARA bagi mempromosikan pereka-pereka fesyen bumiputera ke peringkat antarabangsa.
“Program ini selari dengan aspirasi MARA bagi membina ekosistem fesyen yang mantap dalam pembangunan negara. MiF akan menzahirkan visi berkenaan dengan mengadakan jalinan dengan pelbagai pemain industri fesyen dalam dan luar negara bagi melahirkan usahawan industri yang berkemahiran, kreatif, inovatif, progresif dan berketrampilan.
“Program ini juga adalah bertujuan bagi memberi peluang dan pendedahan kepada MARA dan usahawan bagi mempertingkat kemahiran mereka memenuhi kriteria dan permintaan di Eropah.
“Melalui program ini juga dapat memberi peluang kepada MARA untuk berkolaborasi bersama konsultan-konsultan fesyen di London bagi membantu usahawan MARA menembusi pasaran di London.
“Program MiF ini digunakan bagi membantu usahawan membina jenama, personaliti dan identiti tersendiri. Cara ini juga dapat memberi peluang kepada pereka fesyen tempatan untuk tampil mempromosikan hasil karya mereka,” ujarnya.
Bermacam-macam aktiviti telah dirancang semasa usahawan-usahawan ini berada di London. Di antaranya ialah sesi fotografi bagi tujuan promosi koleksi mereka yang menggunakan tenaga khidmat pakar produksi di sana seperti jurufoto, model dan tata rias.
Ini bertujuan untuk memberikan mereka pengalaman bagaimana hendak berurusan secara profesional dengan warga kerja di sana bagi mendapatkan hasil yang bertaraf antarabangsa.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/fesyen/MARA-tampil-pereka-muda-1.345409#sthash.yo3rLbQb.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.