KPTM beli kelengkapan Aidilfitri 28 anak yatim

kptmam.transformed

SELAYANG: Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) berkongsi kemeriahan Hari Raya Aidilfitri bersama 28 anak yatim dengan membeli persiapan baju raya dalam program Sirna Kasih Aidilfitri bersama Anak-anak Yatim di pusat beli belah Mydin Selayang, hari ini.

Program bersama anak yatim dari Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Teratak Che Dah Kuang Selangor itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPTM.

Pengerusinya, Ahmad Nazlan Idris, berkata program sebegini adalah perlu bagi mengajak mereka merasai kegembiraan, selain berkongsi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Program sebegini adalah antara usaha baik untuk dikongsi kepada masyarakat supaya mereka tahu ada golongan yang kurang bernasib baik memerlukan kegembiraan, malah kita tidak mahu anak yatim ini merasa terpencil dalam negara sendiri, jadi perlu ada bantuan seperti ini.

“Kita bantu mereka membeli persiapan raya seperti set Baju Melayu, songkok dan kasut dengan peruntukan RM4,000, selain sumbangan duit raya,” katanya ketika ditemui dalam program Sirna Kasih Aidilfitri bersama Anak-anak Yatim di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Teratak Che Dah, Datuk Sohaimi Shahadan. Ahmad Nazlan, berkata program CSR KPTM tidak sahaja tertumpu kepada bantuan Hari Raya, malah dari segi pendidikan turut membantu anak asnaf yang cemerlang namun tidak mampu menyambung pelajaran. Sementara itu, bagi anak yatim pusat berkenaan, Arham Ahlami Amin Anuar, 15, berkata dia bersyukur dan berterima kasih kepada KPTM kerana sudi memberi sumbangan kepadanya dan rakan-rakan membeli kelengkapan raya, sekali gus merasai kemeriahan sambutan Aidilfitri nanti.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/165105?m=1

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.