MARA terus perkasa bangsa Melayu dan Bumiputera

mara

KUALA KANGSAR, Rabu – Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak pernah berhenti daripada usaha untuk terus memperkasa modal insan bumiputera sejak ia ditubuhkan 50 tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau berkata, sepanjang tempoh penubuhannya MARA telah mengambil pelbagai inisiatif sama ada dalam bidang pendidikan mahupun keusahawanan dan perniagaan.

“Kerajaan berhasrat melahirkan lebih ramai golongan profesional bumiputera untuk menerajui bidang pendidikan. Selain itu, kerajaan juga mempunyai aspirasi untuk melihat anak-anak Melayu mempelopori bidang keusahawanan dan perniagaan.

“Tumpuan itu diberikan agar perbezaan jurang pendidikan dan ekonomi kaum  Melayu dan bumiputera dapat membangun seiring kaum bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program MARA di Hati Rakyat di Sekolah Kebangsaan Manong di sini, hari ini.

Program sehari itu bertujuan mendekatkan MARA dengan masyarakat dan berlangsung dari pukul 8 pagi sehingga 7 malam dengan pelbagai aktiviti termasuk pameran, acara sukan serta kaunter bergerak untuk orang ramai.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan Datuk Zolkafly Harun dan Timbalan Ketua Pengarah MARA Datuk Salmah Hayati Ghazali.

Pada majlis itu Ahmad Jazlan turut menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Kolej Polytech MARA (KPTM) Ipoh dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Tajul Ariffin.

MoU itu bertujuan untuk menjadikan sekolah berkenaan sebagai anak angkat kepada KPTM bagi membolehkan kedua-dua pihak berkongsi ilmu, pengalaman serta  aktiviti yang dapat mengasah kemahiran pelajar untuk menepati pasaran kerja. – Bernama

Sumber

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.