Serah sepenuhnya mandat kepada MARA

image

KUALA LUMPUR 11 Jun – Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu diberi mandat supaya membangunkan tanah rizab Me­layu bagi mengelakkan tanah-tanah tersebut terbiar begitu sahaja. 

Pengerusi Biro Perlembagaan dan Perundingan Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, terdapat satu seksyen di bawah Akta Mara 1966 yang membenarkan agensi tersebut menubuhkan badan-badan untuk membangunkan tanah rizab Melayu.

“Pemilihan Mara adalah sangat bertepatan kerana jika jawatankuasa khas baharu ditubuhkan untuk membangunkan tanah rizab tersebut, ia perlu dibawa dan dibahas ke Parlimen yang sudah tentunya mendapat pelbagai pandangan dan kritikan.

“Oleh itu, kerajaan harus memilih agensi sedia ada yang mempunyai kuasa untuk membangunkan tanah-tanah rizab Melayu yang terbiar di negara ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ruslin Hassan hari ini mengenai sebuah jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi membangunkan kawasan tanah rizab Melayu tanpa menukar status milikan tanah tersebut.

Ruslin berkata, setiap ne­geri mempunyai tanah rizab Melayu yang tidak dibangunkan malah ia dibiarkan begitu sahaja.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tanah-tanah rizab yang dibangunkan itu adalah untuk kegunaan orang Melayu di masa hadapan.

“Ia boleh dibangunkan untuk kegunaan tuan tanah atau orang Melayu lain sama ada dijadikan tempat tinggal, perniagaan dan sebagainya.

“Tanah-tanah rizab Melayu ini perlu dibangunkan kerana salah satu punca ekonomi Melayu adalah melalui aktiviti-aktiviti pertanian,” ujarnya.

Sumber : http://m.utusan.com.my/berita/nasional/serah-sepenuhnya-mandat-kepada-mara-1.341347#sthash.M7BIfvHS.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Korporat, Pelaburan. Bookmark the permalink.