Sasar hantar 800 pelajar ke universiti terbaik dunia

logo

KUALA KANGSAR – Bermula tahun ini Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan untuk menghantar kira-kira 800 pelajar cemerlangnya ke universiti yang berada dalam ranking antara 50 terbaik dunia.

 

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia sejajar dengan matlamat Mara untuk melahirkan lebih ramai graduan berkualiti untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang apabila mereka kembali ke tanah air.

 

“Kita telah kenal pasti 50 buah universiti…(namun) kita bagi juga kelonggaran ada universiti yang tak berada pada kedudukan 50 terbaik, tapi mengikut bidang pengajian tertentu contoh fizik…,” katanya kepada pemberita selepas program pemimpin bersama pelajar cemerlang Mara di Maktab Mara Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Beliau berkata, Mara menyediakan kira-kira RM400 juta dana untuk menampung pengajian pelajar cemerlang Mara setakat ini.

 

Menurutnya, Mara turut memberikan beberapa kelonggaran kepada pelajar untuk memilih universiti yang kos pengajiannya lebih rendah seperti di India, tetapi masih lagi berada pada kedudukan tinggi dari segi ranking dalam sesuatu bidang pengajian seperti farmasi, perubatan dan teknologi maklumat.

 

Katanya, pelajar cemerlang pilihan Mara diberi peluang untuk memilih sendiri bidang yang mereka minati dan pada masa yang sama Mara akan membimbing dan membantu pelajar yang gagal melepasi syarat untuk memasuki universiti terbaik yang mereka pilih.

 

Bermula tahun ini, Mara melaksanakan penambahbaikan bagi program persediaan ke luar negara yang mana pelajar akan meneruskan pengajian ijazah pertama di dalam negara terlebih dahulu sebelum melanjut pengajian ke universiti terkemuka luar negara.

 

Setakat ini Mara mempunyai 975 pelajar di bawah program persediaan ijazah luar negara, program persediaan ijazah dalam negara (350) manakala program diploma pelajar cemerlang (745) iaitu daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2015. – Bernama

 

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/nasional/sasar-hantar-800-pelajar-ke-universiti-terbaik-dunia-1.528690

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.