Guru MRSM cipta formula mudahkan subjek Sejarah

MRSM LOGO

KOTA KINABALU: Kajian selama dua tahun seorang guru untuk membuat formula asas matematik dan sains dalam subjek Sejarah akhirnya membuahkan hasil.

 

Usaha gigih guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Kinabalu Nurulasyikin Hasan, 31, didorong rasa kasihan terhadap pelajar yang sangat sukar mempelajari serta memahami mata pelajaran Sejarah.

 

Formula berkenaan dicipta bersama rakan sepasukannya dengan menggunakan kaedah koperatif.

 

Beliau yang berasal dari Kedah itu berjaya mendapat 10 kedudukan terbaik daripada 189 peserta lain dalam kategori Pendidikan dan Latihan Pertandingan Inovasi MRSM Peringkat Kebangsaan.

 

Menurutnya, idea utama projek itu adalah untuk mempelbagaikan pedagogi Sejarah berlandaskan konsep asas sains dan matematik.

 

“Aktiviti pengajaran yang digunakan membabitkan kecerdasan pelbagai pelajar, konstruk, berpusatkan pelajar, sosialisme dan elemen matematik serta sains dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P).

 

“Di samping itu, pedagogi ini boleh diaplikasikan menjadi sebuah permainan mudah alih yang menggunakan dimensi 2D untuk menjadikan kelas lebih interaktif dan menyeronokkan,” katanya.

 

Nurulasyikin berkata, dengan bimbingan guru yang lebih bertindak sebagai fasilitator utama, para pelajar juga mampu berdikari meneroka kandungan akademik yang disediakan.

 

Selain itu jelasnya, latihan pengukuhan menggunakan telefon pintar dan iPad dijadikan sebagai medium sains dan teknologi.

 

“Subjek Sejarah secara lazimnya dilabel sebagai mata pelajaran yang padat dengan fakta.

 

“Sesetengah pelajar mendapati fakta-fakta ini terlampau banyak dengan penjelasan yang kurang dan tidak terperinci.

 

“Berdasarkan tinjauan awal, produk yang menggabungkan elemen sains dan matematik ke dalam mata pelajaran Sejarah adalah amat kurang sekali,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan konsep berkenaan mampu meningkatkan kefahaman pelajar dalam mempelajari dan mengingati sejarah.

 

Ia kerana katanya, kebanyakan fakta dapat diringkaskan kepada suatu formula yang lebih mudah.
Sumber : http://www.theborneopost.com/2016/06/04/guru-mrsm-cipta-formula-mudahkan-subjek-sejarah/#ixzz4AcR9V6sq

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.