Bazar Ramadan Raya

KUALA LUMPUR 03 JUNE 2016. Bazar Ramadan di Menara Mara, Kuala Lumpur. NSTP/ROSELA ISMAIL

 Bazar Ramadan di Menara Mara, Kuala Lumpur. NSTP/ROSELA ISMAIL

Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) Incorporated Sendirian Berhad meneruskan acara tradisi tahunannya menerusi penganjuran Bazar Ramadan Raya kali keempat di BUSANA@Menara Majlis Amanah Rakyat (MARA).

 

Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Korporatnya, Rozalina Zainal Abidin berkata, bazar bertemakan RAYA@BizChannel diadakan 38 hari bermula 30 Mei lalu hingga 5 Julai ini membabitkan 100 peniaga yang menawarkan pelbagai pilihan barangan untuk menyambut Aidilfitri.

 

“Kita menempatkan 60 gerai di Medan MARA dan 40 lagi di di BUSANA@Menara MARA yang beroperasi pada jam 10 pagi hingga 10 malam dan dilanjutkan hingga 12 tengah malam pada hujung minggu iaitu hari Jumaat, Sabtu serta Ahad.

“Kelainan pada bazar kali ini ialah pihak syarikat menjalinkan kerjasama dengan Primiera Hotel Kuala Lumpur yang menawarkan pakej penginapan dan berbuka puasa kepada pelanggan yang memilih menginap di hotel ini bagi memudahkan mereka membeli-belah di bazar terbabit,” katanya.

 

Rozalina berkata, beberapa selebriti terkenal seperti Azza Elite, Lan Kristal, Zul Yahya, Noor Khiriah dan Adam Corrie turut serta berniaga di bazar berkenaan dengan menawarkan fesyen jenama mereka.

 

“Tahun lalu kita menarik 500,000 pengunjung dan menjangkakan bilangannya lebih ramai pada tahun ini,” katanya yang menambah, tujuan utama pembukaan bazar berkenaan untuk membantu usahawan Bumiputera.

 

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan jualan runtuh tujuh hari sebelum Aidilfitri khusus untuk yang membeli-belah pada saat akhir dengan harga rendah.

 

Rozalina berkata, pelbagai acara diadakan sepanjang berlangsungnya bazar berkenaan seperti Pertandingan ‘Like, Share & Win.’

 

Sekiranya gambar bazar yang diambil pengunjung dimuat naik ke Facebook BUSANA@Menara MARA mendapat ‘like’ dan komen terbanyak boleh memenangi IPhone 6S.

 

“Kita juga tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat menerusi kempen Sepasang Baju Kurung Untuk Senyuman Mereka kepada 200 anak yatim sekitar Lembah Klang.

 

“Nama anak yatim ini akan dipaparkan di Bangunan MARA dan pengunjung boleh memilih anak yatim yang mereka mahu bantu dengan membeli sepasang baju raya dan kemudian diraikan dalam satu majlis berbuka puasa pada minggu ketiga Ramadan,” katanya.

 

Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/142578?m=1

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.