Mara bina hospital Unikl-RCMP di Perak

Rendering 2.psd

KUALA KANGSAR 29 Mei – Majlis Amanah Rakyat (Mara) bakal memiliki sebuah hospital pengajarannya yang pertama di bawah Kolej Perubatan Diraja Perak, Universiti Kuala Lumpur Pusat (Unikl-RCMP) yang dikendalikan sebagai hospital swasta di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya hospital tersebut didirikan berdekatan Tronoh, namun pihak universiti masih meneliti perkara tersebut disebabkan lokasinya di luar pusat bandar, dikhuatiri kekurangan pesakit.

Menurut beliau, Mara telah menetapkan pembinaan hospital tersebut sekurang-kurangnya perlu dilengkapi dengan 200 buah katil bagi mengatasi masalah pe­nempatan pelajar klinikal dalam Fakulti Perubatan di universiti berkenaan.

“Kita menerima rungutan pelajar ekoran kekangan tertentu hospital kerajaan untuk menerima terlalu banyak pelatih.

“Kita berharap dengan kerjasama kerajaan negeri, pembinaan hospital ini dapat disegerakan dan diletakkan dalam projek keutamaan biarpun masih belum mendapat peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau Hospital Kuala Kangsar dan menyampaikan sumbangan kepada pesakit di sini hari ini.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Mara terus menghantar pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan di dalam dan luar negara.

Malah katanya, keutamaan juga akan diberikan kepada mereka yang mengikuti kursus pengkhususan dalam bidang perubatan selari dengan peranan Mara untuk melahirkan modal insan menerusi perkhidmatan perubatan.

– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mara-bina-hospital-unikl-rcmp-di-perak-1.336457

 

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: