Kolaborasi Giatmara

image (1)

Lensa Rencam minggu lalu berkolaborasi bersama pelajar-pelajar Giatmara Kuala Selangor dalam memperhalusi dunia fotografi industri media cetak dan multimedia sebagai persediaan mereka menempuhi alam pekerjaan dan perniagaan. Pelbagai cabang bidang fotografi dibincangkan bermula dari asas kamera hingga teknik yang melibatkan fotografi pemberitaan, studio, sukan, penulisan berita pendek, perniagaan fotografi dan sebagainya.

Rata-rata mereka memberikan komitmen yang tinggi terutama ketika aktiviti mentor mentee yang diadakan secara berkumpulan dimana tumpuan pemahaman tentang kerjaya fotografi industri dititikberatkan oleh jurufoto dari Lensa Rencam Mingguan Malaysia yang menjadi mentor mereka. Selain itu mereka juga diberi perkongsian ilmu tentang betapa pentingnya komunikasi, jatidiri, ketahanan mental dan fizikal ketika menjalankan tugasan di lapangan.

Lebih 35 orang pelajar dan tenaga pengajar Giatmara Kuala Selangor menyertai program selama tiga hari itu yang dikendalikan oleh jurufoto Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Abd Rahman Saleh, Asmarudin Jamaluddin, Saiful Bahari Ashari, Aswad Yahya, Shahril Azman, Azlan Hadi Abu Bakar serta Pengarang Rencana Mingguan Malaysia, Hafizahril Hamid.

image (2)

Mereka didedahkan secara terus mengenai gerak kerja petugas media melalui wacana ilmu serta aktiviti tugasan yang diberikan secara berkumpulan dalam membentuk pengurusan organisasi perniagaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Giatmara, Datuk Mohd Rosdi Ismail, program kolaborasi perhubungan industri bersama media seperti Utusan Malaysia boleh memberi manfaat yang besar kepada peserta kerana pendedahan gerak kerja serta pengalaman petugas boleh membantu meningkatkan produktiviti peserta Giatmara.

“Program seperti ini dapat memberi bimbingan terus kepada mereka yang akan terdedah kepada industri sebenar terutama dalam bidang perniagaan apabila menamatkan kursus di Giatmara. Perkongsian ilmu sebegini amat berguna kepada peserta untuk masa depan mereka,” tegas beliau.

Sementara itu Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Jakiran Jacomah juga memberi pandangan yang sama dalam ucapan penutup pada program tersebut.

“Anak-anak yang menjadi peserta kurusus fotografi Giatmara perlu merebut peluang yang telah disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup yang sempurna. Kerajaan telah menyediakan pelbagai peluang melalui pelbagai institusi bagi kemajuan masyarakat termasuk Giatmara,” ujar beliau.

Ujarnya lagi, anak muda perlu memahami hasrat kerajaan dalam mempertingkatkan taraf hidup masyarakat melalui bantuan pendidikan, kewangan dan infrasturktur yang diberikan secara terus.

“Program kolaborasi bersama penggiat dalam industri berkaitan seperti ini perlu diteruskan demi kepentingan negara dan kemajuan masyarakat,” katanya.

Bagi kami di Lensa Rencam tiada apa yang diharapkanj selain segala program dan kerjasama yang telah dijalin bersama beberapa buah sokolah dan institusi pengajian tiggi selama ini dapat memberikan menfaat kepada pelajar dan pelatih terutama dalam bidang fotografi kewartawanan. – Admin Lensa Rencam

Sumber : http://m.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/kolaborasi-giatmara-8211-utusan-1.336113#sthash.gYxlA9om.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.