Kabinet pelbagai guna

Nazruddin menunjukkan salah satu Multipurpose Cabinet yang mempunyai kemudahan tempat menggosok pakaian sekali gus dapat menjimatkan ruang.

Nazruddin menunjukkan salah satu Multipurpose Cabinet yang mempunyai kemudahan tempat menggosok pakaian sekali gus dapat menjimatkan ruang.

ALMARI penting sebagai tempat menyimpan barang, namun memerlukan ruang besar untuk meletakkannya. Ia menyebabkan ruang rumah akan menjadi sempit.

Masalah tersebut memberikan idea kepada Pusat GiatMara Kuala Langat, untuk mencipta Multipurpose Cabinet atau kabinet pelbagai guna yang memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penggunanya.

Tenaga Pengajar Kanan Teknologi Kimpalan GiatMara Kuala Langat, Nazruddin Md Said berkata, masalah tersebut memberikan ilham kepada mereka untuk mencipta perabot yang kompak, minimalis dan mobile kerana boleh dialih ke mana sahaja, maka terhasillah memberikan manfaat kepada penggunanya Multipurpose Cabinet.

Bermula awal 2015

Nazruddin berkata, projek tersebut melibatkan pelatih, guru dan pihak pengurusan Pusat GiatMara Kuala Langat, sejak awal tahun lepas.

“Kami memasuki pertandingan Inovasi GiatMara Selangor pada April 2015 dan berjaya dapat tempat ketiga,” katanya.

Menurutnya, mereka terpilih mewakili Pusat GiatMara Selangor ke Be Skills anjuran GiatMara yang diadakan di Terengganu pada Jun 2015.

“Alhamdulillah, kami mendapat johan dalam kategori perabot dan barang pengguna. Kemenangan itu membolehkan kami menyertai Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-27 (ITEX) 2016 yang dianjurkan baru-baru ini,” katanya.

Katanya, sebagai persediaan ke ITEX, mereka melakukan penambahbaikan kepada kabinet gantung untuk dijadikan Multipurpose Cabinet.

Kos RM2,000

Nazruddin berkata, untuk menghasilkan Multipurpose Cabinet, pelbagai cabaran dilalui.

Katanya, cabaran tidak boleh dilupakan ialah pemilihan material yang betul bagi memastikan perabot dihasilkan lain daripada lain.

Menurutnya, setelah kabinet gantung siap, mereka mengadakan perbincangan semula dan melihat penggunaan chip board untuk memastikan pemasangan kayu lebih kemas, cermin, lampu dan sistem pendawaian berfungsi dengan baik.

“Perabot yang dicipta dijenamakan semula kepada Multipurpose Cabinet yang mempunyai kemudahan tempat menggosok baju, tempat gantung baju, meja tulis, meja solek, almari, cermin dan tempat mengecas gajet serta telefon bimbit,” jelasnya.

Katanya, sebanyak tiga kali suai padan dilakukan menggabungkan rekaan dan saiz kayu, cermin dan aksesori lain.

“Alhamdulillah, akhirnya ia menjadi Multipurpose Cabinet yang mudah alih. Ia boleh dialih ke mana sahaja dan mempunyai ketinggian lima kaki dan lebar dua kaki, malah boleh dibuka 180 darjah,” katanya.

Secara keseluruhan katanya, modal menghasilkan Multipurpose Cabinet adalah RM2,000 dengan bantuan bekas pelatihnya yang memberikan penggunaan mesin.

“Saya bersama tujuh pelatih bersyukur kerana akhirnya perabot kami dapat dihasilkan. Ia belum berada di pasaran dan telah dipatenkan. Kami menyerahkan kepada GiatMara untuk mengkomersialkannya di pasaran,” katanya.

 

Sumber

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.