MARA bantu usahawan tempatan

ABU AZAM MD. YASSIN (kiri) diberi penerangan oleh Kamaruddin Awang (dua dari kiri) ketika melawat pameran Festival Mini Makanan Mara Pahang 2016 di Kuantan, kelmarin. Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

ABU AZAM MD. YASSIN (kiri) diberi penerangan oleh Kamaruddin Awang (dua dari kiri) ketika melawat pameran Festival Mini Makanan Mara Pahang 2016 di Kuantan, kelmarin. Utusan/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 26 Mei – Penjenamaan dan pembungkusan produk menjadi antara elemen yang diberikan tumpuan oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam usaha membantu usahawan tempatan meluaskan pasaran perniagaan mereka.

Pengarah Mara negeri, Kamaruddin Awang berkata, usaha tersebut secara tidak langsung dapat membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) menembusi pasaran luar negara dan berupaya menghasilkan produk lebih berkualiti.

“Selain aspek tersebut, Mara juga sentiasa membuka peluang kepada usahawan IKS ini menjana pendapatan dan memulakan perniagaan menerusi kursus-kursus keusahawanan yang disediakan termasuk kemudahan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Festival Mini Makanan Mara Pahang 2016 yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Mara, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abu Azam Md. Yassin di pekarangan Arked Mara Jalan Gambut, di sini semalam.

Festival julung kali anjuran Mara itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam melibatkan seramai 34 peserta yang menjual dan mempamerkan produk masing-masing seperti ikan patin salai, sambal hitam, produk sejuk beku serta makanan tradisi Pahang.

Berhubung festival berkenaan, Kamaruddin berkata, penganjurannya bertujuan membantu usahawan terutama yang mengeluarkan produk makanan mengenal pasti kelemahan dari segi pembungkusan dan penjenamaan.

Tambahnya, festival itu turut memberi peluang kepada orang ramai memperoleh maklumat tentang industri makanan ter­utama produk makanan halal.

“Kita sentiasa berusaha membantu usahawan ini dengan mendorong mereka untuk merebut peluang dalam pasaran kerana ramai usahawan  mempunyai produk menarik tetapi sukar menembusi pasaran lebih luas.

“Umpamanya di negeri ini, pelbagai produk menarik terdapat di daerah-daerah seperti sambal hitam, ikan patin tempoyak dan buah strawberi yang tiada di tempat lain yang boleh dijenamakan untuk dibawa ke pasaran luar sekali gus mempromosikan produk tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta, Mohd. Farid Syed Mohamed, 35, berkata, penganjuran festival berkenaan dapat membantunya mengkomersialkan makanan tradisi Johor iaitu pepes ayam dan otak-otak kempas yang dihasilkannya.

“Program seperti ini memberi peluang kepada usahawan kecil mempromosikan produk masing-masing dan berharap ia dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Bagi Nurul Hidayat Mohd. Kassim, 30, usaha yang dilakukan Mara dalam membantu usahawan mengetengahkan produk amat dihargai terutama kepada mereka yang tinggal jauh dari bandar.

“Syukur kerana menerusi bimbingan Mara, perniagaan francais penkek pisang yang saya usahakan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. Saya berharap dapat me­luaskan produk ini pada masa akan datang,” katanya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/pahang/mara-bantu-usahawan-tempatan-1.334976#sthash.1rZ2FPS1.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: