Bagaimana Cikgu Ini Ubah Mentaliti Pelajar MRSM Terhadap Matematik Tambahan

Lapan tahun lepas, sebelum kami menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, MRSM Pasir Salak telah menerima seorang guru Matematik Tambahan yang baru. Beliau ialah Cikgu Noraini atau lebih mesra kami panggil sebagai Cikgu Nora. Beliau merupakan guru cemerlang subjek tersebut.

Kedatangan beliau pada ketika itu sememangnya tepat pada masanya kerna pada masa itu hanya tinggal beberapa bulan saja lagi sebelum SPM namun pencapaian kami dalam subjek tersebut amatlah mendukacitakan para guru. Saya sendiri kurang yakin dengan kemampuan saya untuk lulus subjek tersebut.

Namun alhamdulillah, Allah hadirkan Cikgu Nora, seorang guru yang sering sahaja terukir senyuman di bibirnya. Manis sekali senyumannya.

Sejak kedatangan beliau, jadual kelas telah dirombak berkali-kali. Jika sebelum ini kelas Matematik Tambahan hanya memperuntukkan dua masa maksimum, namun Cikgu Nora telah menambahnya kepada TIGA MASA! Bayangkan betapa tepunya berada dalam kelas selama tiga masa tanpa henti.

Pada mulanya kami merasakan ini sebagai mental torture tetapi lama-kelamaan kami mulai adapt. Kesungguhan dan keikhlasan Cikgu Nora mengubah persepsi kami terhadap Matematik Tambahan yang digelar sebagai killer subject. Beliau juga selalu percaya kami mampu untuk mencapai A dalam subjek tersebut.

Biasalah bila kelas terlalu lama, pasti ada saja pelajar-pelajar yang akan tertidur. Tepu menerima formula yang panjang berjela-jela. Tapi cara Cikgu Nora mudah, beliau tidak marah pelajar yang tidur. Beliau hanya menyebut nama pelajar tersebut, “Faham Afiqah?” dengan senyuman di bibir. Tahulah kami pelajar tersebut tidur semasa beliau mengajar.

Beliau juga sangat prihatin akan kebajikan para pelajarnya. Sepanjang beberapa bulan sebelum SPM, setiap pelajar Tingkatan Lima akan mengamalkan memakan kismis tujuh biji setiap hari. Kismis tersebut telah ditaja oleh beliau sendiri. Katanya sebagai usaha untuk mencerdaskan otak.

Menjelang peperiksaan sebenar, semakin galak latihan yang diberi. Sebut sahaja latihan dari negeri mana, hampir seluruh Malaysia telah diberi kepada kami. Bukan hendak berbangga, tetapi itulah hakikatnya. Benar kata pepatah, belakang parang kalau diasah lagikan tajam.

Hasilnya sangat memberangsangkan kepada semua pelajar. Saya sendiri turut merasai perubahan, dari tidak lulus sebelum ini kepada gred C atau kadang-kala gred B.

Pada hari SPM sebenar, sebelum kertas Matematik Tambahan, Cikgu Nora bersama-sama di luar dewan menenangkan kami yang berdebar-debar. Beliau selalu mengingatkan untuk berselawat jika terlupa formula atau apa sahaja yang telah dipelajari.

Sebelum masuk, beliau telah memberi setiap dari kami coklat Kit Kat sebagai energy booster sebelum “berperang” di dalam sana. Alhamdulillah, sewaktu keputusan diumumkan, kebanyakan kami telah memperoleh gred A termasuklah saya sendiri. Tapi pada masa itu saya tidak berkesempatan untuk bertemu Cikgu Nora sehinggalah ke hari ini.

GAMBAR DIAMBIL OLEH PENULIS DARI FACEBOOK ANAK CIKGU NORA, OMAR SHUKRI.

GAMBAR DIAMBIL OLEH PENULIS DARI FACEBOOK ANAK CIKGU NORA, OMAR SHUKRI.

Semalam, kami telah menerima perkhabaran bahawa cikgu yang kami kasihi yang telah banyak berjasa kepada kami telah meninggal dunia kerana pulmonary embolism. Saya pasti setiap pelajar Tingkatan Lima MRSM Pasir Salak tahun 2008 pasti sangat terasa akan kehilangan ini.

Andai sahaja cikgu tahu, kesungguhan cikgu pada lapan tahun dulu, sedikit sebanyak menyumbang kepada kami yang hari ini. TERIMA KASIH CIKGU KU! Semoga semangat Cikgu Nora sentiasa berada di dalam diri kami.

Tenanglah wahai guruku di sana. Berehatlah dengan aman. Semoga Allah tempatkan cikgu dalam kalangan orang-orang yang beriman dan soleh. Moga kelak kita bertemu di syurga sana cikgu, insya-Allah. Al- Fatihah.

Sumber

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.