Sasar 1.5 juta usahawan sempena 100 tahun MARA

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Ismail Sabri Yaakob dan Annuar Musa (kanan) menunjukkan mangga harumanis dalam Majlis Perasmian Perlis Fest @ KL 2016 di Medan MARA, Kuala Lumpur, semalam.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Ismail Sabri Yaakob dan Annuar Musa (kanan) menunjukkan mangga harumanis dalam Majlis Perasmian Perlis Fest @ KL 2016 di Medan MARA, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 24 Mei – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan kira-kira 1.5 juta usahawan dihasilkan dalam tempoh 50 tahun akan datang sekali gus menjadi golongan yang akan membantu memacu ekonomi negara pada masa depan.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sasaran tersebut adalah berdasarkan pencapaian MARA dalam membantu menghasilkan 700,000 usahawan bumiputera dan penyediaan bantuan mengembangkan perniagaan kepada lebih 200,000 usahawan, sejak agensi itu ditubuhkan 50 tahun lalu.
“Program keusahawanan MARA melibatkan pendekatan menyeluruh sekali gus menjadinya unik dengan penyediaan pelbagai kemudahan perniagaan di bawah satu bumbung meliputi pinjaman perniagaan, penyediaan premis, khidmat nasihat, pemasaran dan penjenamaan.
“MARA juga merupakan pelopor kepada konsep peruncitan de­ngan mewujudkan bazar dan arked yang berfungsi sebagai pusat inkubasi kepada usahawan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Perlis Fest @ KL 2016.
Perlis Fest itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa.
Ismail Sabri berkata, MARA kini mempunyai hampir 500 projek premis perniagaan dengan lebih 7,000 ruang niaga di seluruh negara yang boleh memberi manfaat kepada lebih 7,000 usahawan bumiputera.
“Mereka dilihat mampu menjana sebanyak RM2.624 bilion setahun melalui penglibatan dalam projek premis perniagaan itu selain pembukaan lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
“MARA akan mengubah premis perniagaan dengan penjenamaan baharu yang bukan sahaja membangunkan semula bazar lama untuk memberi ruang kepada usahawan menjalankan perniagaan tetapi dalam masa sama mengubah taraf hidup mereka terutama penduduk luar bandar,” katanya.

– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-1-5-juta-usahawan-sempena-100-tahun-MARA-1.334299

Advertisements
This entry was posted in Usahawan. Bookmark the permalink.