Bakat empat peserta di pentas peragaan MiF

Dari kiri: Hazzerwan, Nur Sabrina, Nadia Hasmin dan Danial Arif bersama koleksi pakaian masing-masing.

Dari kiri: Hazzerwan, Nur Sabrina, Nadia Hasmin dan Danial Arif bersama koleksi pakaian masing-masing.

“ARWAH ayah tidak suka saya belajar fesyen,” kata salah seorang pemenang Majlis Amanah Rakyat (MARA) in Fashion (MiF) Runway 2016, Nadia Hasmin Hassan yang membuatkan matanya berkaca. Begitupun, dia yang lebih mesra disapa Nadd, 25, tetap dengan keputusannya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang fesyen.

“Orang dahulu sering salah anggap, mereka ingat pereka fesyen ini seperti tukang jahit sahaja.

“Saya tak kisah dan tetap mahu teruskan pembelajaran,” ujarnya yang telah memenangi tempat pertama semasa projek akhir Diploma Rekaan Fesyen di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seri Iskandar, Perak.

Sejak itu, ayahnya mula sedar mengenai kebolehan Nadd. Ayahnya begitu bangga sehingga memberitahu kepada keluarga dan rakan-rakan tentang kejayaan anak perempuan tunggalnya itu.

Nadd kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Rekaan Fesyen di UiTM, Shah Alam, Selangor. Semasa masih menuntut, Nadd terpilih untuk menyertai Yayasan Tuanku Nur Zahirah dalam pertandingan rekaan songket dan turut memenangi tempat pertama dengan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Lebih manis apabila kemenangan itu telah melayakkannya menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Terbaharu, Nadd terpilih sebagai seorang daripada empat pelajar yang layak ke London Muslim Lifestyle Show yang diadakan di Britain pada 30 April hingga 1 Mei lalu.

Bercerita mengenai kenangan manis bersama tiga rakannya, Nadd memberitahu, dia membawakan tema Neo Abstraction iaitu koleksi pakaian sedia pakai inspirasi daripada rekaan seni bina kontemporari dan minimal.

“Selepas mendapat tahu mengenai program yang diadakan MARA, saya tanam azam untuk memberikan seratus peratus komitmen. Selama enam bulan saya menimba pengalaman dengan MARA dan akhirnya ia membuahkan hasil.

“Pelbagai ilmu yang saya dapat, terima kasih kepada guru yang mengajar,” katanya yang kini bekerja sebagai pereka untuk busana jenama Creacion by Siti Nurhaliza selain menerima tempahan pakaian pengantin.

Seorang lagi pemenang MiF Runway 2016, Mohd. Hazzerwan Mohd. Hazlee, 26, yang membawakan tema KL Dream In iaitu koleksi rekaan edgy dalam rona hitam dan putih. Rekaan itu dibuat khusus untuk wanita kontemporari yang mempunyai cita rasa dan keyakinan tinggi.

Katanya, dia mendapat ilham untuk menghasilkan rekaan itu apabila setiap hari melihat bangunan Menara Berkembar Petronas Kuala Lumpur.

Minat seni

“Saya berasal dari Kampung Pandan. Jadi, hari-hari saya nampak menara berkembar itu. Dari situ timbul ilham untuk melahirkan busana dengan menggunakan lakaran bangunan berkenaan.

“Bagi menambahkan kesan dramatik. Saya menekankan perincian manik pada baju, dres dan jaket bagi membentuk lakaran menara berkenaan. Ternyata para juri menyukainya,” katanya yang pernah menuntut di Universiti Heriot-Watt, Scotland dalam bidang rekaan fesyen selama dua setengah tahun.

Ditanya mengenai minatnya untuk mereka baju, Hazzerwan yang merupakan pemenang tempat ketiga dalam pertandingan Jarum Berlian 2014 memberitahu, dia meminati bidang seni sejak kecil.

“Dahulu saya bercita-cita mahu menjadi arkitek, sebab saya suka melukis tetapi kini menjadi pereka fesyen pula. Semuanya bermula semasa membantu ibu di butik pakaian.

“Saya sekadar suka-suka lukis gambar baju dan tidak sangka pula ada pelanggan yang gemarkan sehingga mengambil rekaan saya untuk membuat baju mereka,” ujar Hazzerwan yang mengimpikan sebuah rumah fesyen sendiri.

Gua

Seorang lagi bakat muda yang layak ke London Muslim Lifestyle Show ialah Nur Sabrina Abu Hassan atau selesa dipanggil Abim.

Gadis manis berusia 27 tahun itu membawakan tema The Speleothem iaitu koleksi pakaian jalanan eksklusif diinspirasikan daripada keunikan formasi merangkumi bentuk serta tekstur yang terdapat di dalam gua.

Uniknya rekaan itu, Abim menggunakan teknik percikan pada baju, skirt dan kimono. Rekaan itu dihasilkan berdasarkan ilhamnya sendiri yang gemar bereksperimen dengan fabrik.

Berbeza dengan rakannya yang lain, Abim memberitahu, dia memang tidak gemarkan bidang rekaan fesyen pada awalnya. Anak sulung daripada empat adik-beradik itu hanya mengikut bidang yang telah ditawarkan.

“Semasa saya menuntut dalam bidang diploma di UiTM Seri Iskandar, saya belajar sekadar untuk tamatkan diploma sahaja. Namun pada tahun akhir, seorang pereka fesyen terkemuka iaitu Hatta Dolmat telah datang dan memberi ceramah tentang dunia pereka fesyen.

“Dari situ, saya mula sedar dan terus bersungguh-sungguh melakukan projek akhir. Tidak sangka pula saya mendapat markah penuh. Kemudian saya menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di UiTM Shah Alam pula,” katanya yang menjadikan pereka dari Jepun, Rei Kawakubo sebagai mentor.

Danial Arif Shah Budin, 25, pula membawakan tema Minimal Illusionist dalam rekaannya pada MiF Runway 2016 yang diadakan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur pada 23 April lalu.

Danial menjadikan karya seni bertajuk Art of Transparency The Home oleh Do Hu Suh sebagai inspirasi utama dalam penghasilan koleksi sedia untuk dipakainya. Koleksi uniseks itu khusus untuk mereka yang gemarkan rekaan yang praktikal, minimal dan mengikut perkembangan fesyen.

Label

Anak ketiga daripada empat adik-beradik itu memberitahu, dia sememangnya minat bidang seni dari kecil lebih-lebih lagi kesemua adik-beradiknya ialah perempuan.

“Saya suka buat kraf masa kecil, apa yang kakak lakukan saya selalu ikut. Keluarga tidak menghalang saya untuk menuntut dalam jurusan fesyen.

“Pada 2014, saya melanjutkan pelajaran dalam bidang rekaan fesyen di Sekolah Ecole Duperre, Paris selama tiga tahun. Selepas pulang ke Malaysia, saya membuka label sendiri dengan mengambil tempahan busana pengantin,” katanya yang menjadikan Bernard Chandran sebagai ikon fesyen.

Tambahnya, hasil tempahan itu akan dijadikan modal untuk membuat pakaian sedia pakai dengan menggunakan jenama sendiri.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0524&pub=Kosmo&sec=Stailo&pg=st_01.htm

Advertisements
This entry was posted in Berita Kejayaan. Bookmark the permalink.