PMB SSCF sasar dana RM30 juta

Ismail Sabri Yaakob (tengah ) melancarkan dana PMB SSCF sambil di saksikan (dari kiri) Zamani Md. Noor, Mohd. Arif Ab Rahman, Ibrahim Ahmad dan Ameer Ali Mohamed di Kuala Lumpur, semalam. utusan/Halim Khalid

Ismail Sabri Yaakob (tengah ) melancarkan dana PMB SSCF sambil di saksikan (dari kiri) Zamani Md. Noor, Mohd. Arif Ab Rahman, Ibrahim Ahmad dan Ameer Ali Mohamed di Kuala Lumpur, semalam. utusan/Halim Khalid

KUALA LUMPUR 18 Mei – PMB Investment Bhd. yakin dapat meraih dana berjumlah RM30 juta bagi dana patuh syariah baharunya, PMB Shariah Small-Cap Fund (PMB SSCF) menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ameer Ali Mohamed berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan prestasi dana-dana lain yang diuruskan oleh PMB Investment, selain pelbagai akti­viti pemasaran dan promosi yang dijalankan.
Katanya, jumlah ejen yang akan meningkat sehingga 1,000 orang menjelang akhir tahun depan berbanding 300 orang ketika ini, juga bakal membantu menambah pelaburan kepada dana terbabit.
“Kini kami mempunyai 300 ejen dan 90 peratus daripadanya adalah ejen aktif. Kami yakin dengan tambahan sehingga 1,000 ejen menjelang hujung tahun depan akan dapat meningkat jualan pelaburan kami,” katanya pada majlis pelancaran PMB SSCF di sini hari ini.
Pelancaran dana modal kecil patuh syariah kedua dalam negara itu telah dirasmikan oleh Menteri­ Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan disaksikan oleh Pengerusi PMB Investment, Datuk Dr. Zamani Md. Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab Rahman dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.
Ameer Ali berkata, dana unit amanah ke-14 di bawah syarikat pengurusan pelaburan Islam tersebut akan membuat pelaburan dalam syarikat-syarikat patuh syariah bersaiz kecil yang berpotensi untuk berkembang dan tersenarai di Bursa Malaysia.
Menurutnya, dana unit ama­nah ekuiti terbabit akan melabur antara 70 hingga 99.5 peratus dalam sekuriti patuh syariah dan pelaburan asas bagi syarikat bersaiz kecil yang tersenarai di Bursa Malaysia adalah dengan modal pasaran antara RM250 juta hingga RM1 bilion.
“Bagaimanapun, dana ini boleh melabur sehingga 20 peratus daripada aset bersihnya dalam syarikat-syarikat bersaiz sederhana yang mempunyai modal pasaran melebihi RM1 bilion hingga RM7 bilion.
“Tumpuan PMB SSCF adalah untuk pelaburan dalam syarikat yang mempunyai prospek pertumbuhan dalam jangka masa sederhana hingga panjang, mempunyai potensi pendapatan yang baik, pengurusan berkualiti dan urus takbir korporat yang baik,” ujarnya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/pmb-sscf-sasar-dana-rm30-juta-1.331809

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.