Mara bantu cipta peluang pekerjaan

Institusi Pendidikan Mara fokus dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.

Institusi Pendidikan Mara fokus dalam melahirkan modal insan yang berkualiti.

SISTEM Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang diperkenalkan sejak tahun 1960 merupakan satu usaha bersepadu dalam mempertingkatkan kualiti diri, masyarakat dan kelangsungan bangsa.

MARA ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Menterinya ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Komitmen dan kesungguhan pendidik ditagih dalam usaha untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan Institusi Pendidikan MARA pada masa hadapan.

Perbezaan falsafah pendidikan MARA adalah berdasarkan misi MARA untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan yang cemerlang. Perkara ini diterjemahkan MARA dengan menekankan kepada usaha untuk mewujudkan satu persekitaran pembelajaran kondusif bersifat holistik.

Sehingga kini, MARA telah menyumbang kepada lebih 300,000 guna tenaga mahir, separa mahir dan profesional dalam pelbagai industri.

Untuk menjadi negara maju, kita memerlukan lebih 60 peratus guna tenaga berkemahiran dan MARA telah berjaya menghasilkan lebih daripada 30 peratus tenaga kerja itu.

Falsafah pendidikan MARA juga merangkumi pembangunan insaniah. Nilai-nilai murni diterapkan kepada para pelajar dalam Institusi Pendidikan MARA supaya pembangunan duniawi dan ukhrawi dapat diselaraskan dengan baik.

Program pendidikan MARA turut merealisasikan lima fokus utama Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera melalui peningkatan daya saing, produktiviti serta inovasi dalam sistem pendidikan MARA.

Usaha ini dilaksanakan dengan melahirkan pelajar yang holistik dari aspek akademik dan siasah malah memberi penekanan kepada keusahawanan dalam pendidikan dengan matlamat membentuk graduan sebagai pencipta pekerjaan.

Sejajar dengan perubahan dan tuntutan semasa, peranan MARA turut diperkasa bagi mencapai matlamat perpaduan nasional.

Malah, melengkapi usaha ini, Sektor Pendidikan MARA turut ditransformasikan melalui inisiatif 3i iaitu (i) institutionalisation (kerjasama bersama-sama institusi dalam negara), industrialisation (pemantapan program latihan industri) dan interationalisation (usaha sama institusi luar negara melalui program berkembar) serta pelaksanaan program-program kepimpinan dan insaniah di kesemua Institusi Pendidikan MARA.

Usahawan

MARA merangkumkan program pendidikan dan keusahawanan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang graduan dalam sebuah keluarga.

Kini, terdapat lebih empat juta isi rumah bumiputera dan dasar ini mampu untuk merubah landskap sosioekonomi dan pemikiran bumiputera daripada hanya bercita-cita menjadi pekerja kepada pencipta peluang pekerjaan atau usahawan.

Usaha ini diteruskan dengan penubuhan gugusan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) 340 buah pusat pentadbiran di seluruh negara dengan lebih 120,000 pelajar yang berperanan sebagai jambatan ilmu untuk semua peringkat lapisan masyarakat.

Bahkan kemudahan penganjuran pelajaran turut disediakan oleh MARA bagi program dalam dan luar negara sejak 1966.

Dua laluan utama Sektor Pendidikan MARA sama ada Pendidikan Akademik dan Pendidikan Teknikal & Vokasional menampung keperluan ini dengan menumpu kepada pembangunan modal insan berteraskan nilai murni, berkemahiran dan berpengetahuan serta berorientasikan keusahawanan.

Sehingga kini, lebih 1.1 juta orang telah menerima manfaat daripada program-program pendidikan MARA ini.

Malah, kebolehpasaran para graduan IPMa juga meningkat kepada 85 peratus sekali gus menunjukkan pelan pendidikan MARA berjaya melahirkan modal insan berkualiti dalam memacu ke arah negara berpendapatan tinggi.

Laluan Pendidikan Akademik bermula dari pendidikan peringkat menengah di Maktab Rendah Sains MARA, prauniversiti di Kolej MARA serta program separa profesional di Kolej Profesional MARA dan Kolej Poly-Tech MARA.

Universiti Majlis Amanah Rakyat yang merupakan pelengkap kepada sistem pendidikan cemerlang MARA akan diwujudkan dengan penawaran kursus-kursus profesional yang digubal selaras dengan kehendak dan tuntutan semasa.

Selain itu, turut ditawarkan pendidikan peringkat sijil di GiatMARA dan Institut Kemahiran MARA diploma dan Higher National Diploma di Kolej Kemahiran Tinggi MARA dan German-Malaysian Institute serta peringkat ijazah di Universiti Kuala Lumpur.

MARA terus memastikan transformasi pendidikan dilaksanakan secara berterusan sejajar dengan aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia.

Antaranya mempertingkatkan tahap profesionalisme pendidik dengan menggalakkan mereka mengikuti kursus ataupun bidang pengajian yang lebih tinggi di dalam dan luar negara melalui program dan skim yang diperkenalkan.

Melalui program pembangunan warga kerja pula, seramai 376 orang pendidik sedang melanjutkan pengajian di peringkat kedoktoran dan sarjana (945 orang).

Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu Guru Pembina Negara Bangsa adalah amat bertepatan dengan usaha MARA untuk mengangkat agenda memartabatkan bangsa melalui aspirasi pendidik yang disepadukan dan digerakkan secara bersama teras keusahawanan.

~ Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0519&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_02.htm

 

Advertisements
This entry was posted in Korporat. Bookmark the permalink.