Cipta mesin khas cucuk daging pada lidi

PELAJAR Pusat GiatMARA menggunakan mesin mencucuk daging pada lidi sate.

PELAJAR Pusat GiatMARA menggunakan mesin mencucuk daging pada lidi sate.

Melaka: Bagi kebanyakan peniaga sate, mereka biasa mengupah individu tertentu untuk mencucuk daging pada lidi berikutan tugas itu yang dianggap sebagai rumit dan memenatkan.

Peniaga sate tidak kisah mengeluarkan kos membayar upah kerana bagi mereka masa diambil untuk mencucuk daging pada lidi boleh digunakan untuk melakukan persiapan lain sebelum memulakan perniagaan.

Bagi seorang tenaga pengajar Kursus Kimpalan di Pusat GIATMARA Alor Gajah di Durian Tunggal, tugas itu sering dilihatnya dilakukan oleh dua kakaknya yang mengusahakan gerai menjual sate di Simpang Ampat, Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan.

Edi Fadli Rashidi, 35, berkata, selepas meneliti tugas dilakukan kedua-dua kakaknya dia terfikir untuk mencipta mesin khas bagi mempercepatkan lagi kerja mencucuk daging pada lidi.

“Saya berbincang mengenai perkara itu dengan dua lagi rakan yang juga tenaga pengajar bidang elektronik dan penyediaan makanan untuk menghasilkan mesin berkenaan.

“Kami mengambil dua hari untuk membuat lakaran rekaan, yang diikuti proses membina prototaip yang mengambil masa selama dua minggu dan siap sepenuhnya pada Mac tahun lalu.

“Komponen utama mesin ciptaan kami adalah alat pemampat udara bagi menghasilkan daya untuk menolak lidi ke dalam daging. Kos keseluruhan membina mesin ini RM4,500,” katanya ketika ditemui di Sungai Udang, di sini, baru-baru ini.

Menerangkan mengenai mesin terbabit Edi berkata, ia mempunyai enam ruang khas untuk meletakkan daging dan enam pemegang lidi, namun boleh ditambah mengikut permintaan pelanggan.

Menurutnya, rekaan itu turut mendapat pengiktirafan apabila menduduki tempat ketiga ketika menyertai pertandingan inovasi dianjurkan oleh Ibu Pejabat GIATMARA di Kuala Terengganu, Terengganu April tahun lalu.

“Pusat GIATMARA Alor Gajah sedia menerima tempahan daripada peniaga sate yang berminat mengurangkan beban tugas mencucuk daging sate dengan pengubahsuaian berdasarkan permintaan mereka.

“Contohnya, jika mereka mahu 10 ruang untuk daging dan lidi, ia boleh dilakukan, lebih banyak ruang disediakan, lebih cepat kerja mencucuk daging sate boleh dibuat,” katanya.

~ Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/138817?platform=hootsuite

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.