Pembikin wajah hodoh

NUR Atiqah ketika menyolek kesan khas.

NUR Atiqah ketika menyolek kesan khas.

 HASIL solekan Nor Nadirah (tengah) dalam IBE di KLCC baru-baru ini.


HASIL solekan Nor Nadirah (tengah) dalam IBE di KLCC baru-baru ini.

Kuala Lumpur: Mereka boleh dikatakan baru setahun jagung dalam bidang solekan, tetapi hasil kesungguhan dan keberanian, sejarah tercipta apabila mereka dinobatkan juara kategori International Special Effect Makeup Asia di International Beauty Expo (IBE) di KLCC, Isnin lalu.

Dua sahabat itu, Nor Nadirah Nordin, 19, Nur Atiqah Abdul Hadei, 20, masing-masing menang tempat kedua dan ketiga dalam pertandingan berkenaan dan menewaskan peserta dari China, Korea, Taiwan dan Hong Kong.

Nor Nadirah yang juga penuntut Sijil Solekan di GIATMARA Ampang Jaya dan baru enam bulan menceburi bidang berkenaan menjadikan YouTube sebagai antara ‘guru’nya selain ilmu yang diperoleh daripada tenaga pengajar di GIATMARA.

“Saya minat melukis, sekali gus membuatkan saya mengambil keputusan untuk mengambil bidang solekan. Saya akui saya tidak sehebat peserta lain, tetapi tidak menyangka pertandingan yang kali pertama saya sertai memberi tuah.

“Bukan mudah untuk bersaing dengan peserta lain yang datang dari China, Korea, Taiwan dan Hong Kong,” katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik.

Menurutnya, dia mendapat inspirasi untuk mencipta kostum watak Orc dan solekan kesan khas ketika menonton filem ‘The Hobbit’.

Katanya, dia mahir dalam lukisan muka dan badan serta kartun animasi seperti raksasa dan ‘zombi’, sekali gus satu kelebihan untuknya mencipta kostum dan solekan kesan khas berkenaan.

“Saya belajar daripada tenaga pengajar dan rakan untuk mempelajari teknik solekan kesan khas ini, selain menjadikan YouTube sebagai sumber rujukan saya,” katanya.

Sementara itu, Nur Atiqah mengakui usaha lebih sebulan menghasilkan kostum dan solekan kesan khas ‘Predator’ akhirnya membuahkan hasil.

“Tiga jam sebelum pertandingan, saya menghadapi masalah kerana kostum saya tidak padan dengan model menyebabkan seluar dipakai terkoyak.

“Ketika itu, saya sudah patah semangat tetapi saya tetap cekalkan diri dengan mengubahsuai dan membaiki semula kostum itu,” katanya.

Menurutnya, dia turut memilih mengambil Sijil Jurusan Solekan di GIATMARA kerana bercita-cita untuk menjadi pakar solekan dan membuka salun.

“Saya hanya menggunakan bahan terpakai seperti latex dan tisu untuk menghasilkan pakaian, manakala topeng ‘Predator’ berkenaan saya menggunakan barangan terpakai, antaranya paip dan topi keledar,” kata gadis kelahiran Klang, Selangor ini.

Nur Atiqah berkata, dia turut menjadikan YouTube sebagai panduan dan mempelajari teknik baru solekan dengan impak yang berkesan.

“Teknik yang betul memainkan peranan penting untuk menjadikan solekan itu nampak semula jadi,” katanya yang turut bekerja sambilan sebagai jurusolek iklan komersial.

~Sumber : http://www.hmetro.com.my/node/137881

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.