28,344 ditawar ke IPT Menerusi Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016

ISMAIL SABRI YAAKOB dan Sahol Hamid Abu Bakar bersama pelajar pada program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 peringkat negeri di Bera, Pahang, semalam. Mingguan/AHMAD ZAKKI JILAN

ISMAIL SABRI YAAKOB dan Sahol Hamid Abu Bakar bersama pelajar pada program Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 peringkat negeri di Bera, Pahang, semalam. Mingguan/AHMAD ZAKKI JILAN

BERA 14 Mei – Sebanyak 28,344 pelajar yang gagal melanjutkan pengajian telah ditawarkan tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2016.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jelajah yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 21 Mac lalu di Kuala Selangor, sebanyak 37,000 peluang pengajian disasarkan untuk ditawarkan kepada pelajar bumiputera.
“Sehingga kini, siri jelajah ini sudah ke 50 lokasi termasuk di Bera pada hari ini. Terdapat 16 lagi kawasan yang akan diadakan siri jelajah ini sebelum berakhir pada 31 Mei ini.
“Bayangkan jika tidak ada siri jelajah ini, apa akan jadi kepada anak bangsa kita lebih 28,000 orang itu. Program ini merupakan pencapaian besar kerana kita memberikan peluang baharu kepada pelajar bumiputera khususnya mereka yang tinggal di luar bandar seperti di kawasan Bera ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016 peringkat negeri di Dewan Kompleks Rakan Muda Bera, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB 2016, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi Kolej Poly-Tech Mara (KPTM), Ahmad Nazlan Idris.
Pada program berkenaan, sebanyak 11 IPT dalam negara terlibat bagi menawarkan peluang pengajian kepada pelajar bumiputera khususnya dari Parlimen Bera.
JPB mengekalkan matlamat dan objektif yang sama seperti Program Destini Anak Bangsa yang telah bertapak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun 2012 iaitu untuk membantu anak-anak golongan kurang berkemampuan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.
Program itu kemudiannya diberikan transformasi baharu oleh Perdana Menteri untuk memberi peluang kedua kepada pelajar bumiputera melanjutkan pengajian dengan rakan strategik institusi pendidikan antaranya Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, persepsi bahawa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan pilihan kelas kedua perlu diubah selaras dengan kebolehpasaran lulusannya di dalam dan luar negara.
Beliau berkata, lulusan TVET berupaya menyumbang kepada pembangunan negara sekali gus mudah mendapat pekerjaan sebaik sahaja tamat pengajian.
“Jika di negara luar seperti Jerman, TVET merupakan pilihan utama penuntut di sana,” katanya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/28-344-ditawar-ke-ipt-1.326039

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.