Pelatih GIATMARA ikuti perlumbaan Superbike Dunia

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama pelumba pasukan Orelec Racing Team, Zulfahmi Khairuddin (empat dari kanan) bergambar sempena lawatan kerja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ke GIATMARA Batu Bersama WorldSBK Riders dan Santai Bersama penduduk Kampung Padang Balang.- Foto BERNAMA-

MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama pelumba pasukan Orelec Racing Team, Zulfahmi Khairuddin (empat dari kanan) bergambar sempena lawatan kerja Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ke GIATMARA Batu Bersama WorldSBK Riders dan Santai Bersama penduduk Kampung Padang Balang.- Foto BERNAMA-

KUALA LUMPUR: Seramai 40 pelatih GIATMARA Batu Kuala Lumpur, di sini berpeluang mengikuti 26 perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di seluruh dunia. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelatih yang mengikuti Sijil Teknologi Automotif itu dihantar bagi tujuan menjalani latihan penjagaan dan pembaikan motosikal berkuasa tinggi. “Sebelum ini pelatih GIATMARA memang sudah terbabit dalam pembaikan motosikal, tapi bukan jenis berkuasa tinggi seperti digunakan pelumba dalam WSBK. “Sepanjang mengikuti latihan itu, mereka bukan saja boleh belajar, tapi turut dapat merasai pertandingan sebenar selain melihat bagaimana pakar membuat penjagaan dan pembaikan motosikal mereka. “Latihan ini adalah kerjasama antara GIATMARA dan Superbike Dunia (SBK) di mana daripada segi perbelanjaan akan ditanggung pihak SBK. Mereka akan mula mengikuti setiap 26 perlumbaan yang dijalankan di seluruh dunia bermula pusingan di Sepang esok (hari ini),” katanya. Beliau berkata demikian selepas melawat GIATMARA Batu Kuala Lumpur bersama tujuh pelumba WSBK termasuk penunggang negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, di sini, hari ini. Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, pihaknya kini masih dalam perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membolehkan pelajar menggunakan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam (UA). Sehubungan itu, katanya, beliau mahu masyarakat membuang persepsi bahawa pelajar yang terbabit dalam latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah mereka yang tercicir, kelas kedua atau tidak pandai. “Kerajaan sudah menyasarkan sebanyak 60 peratus daripada 1.5 juta peluang pekerjaan adalah terdiri daripada graduan TVET menjelang 2020 ini. Ia bermakna pelajar TVET lebih mempunyai peluang cerah berbanding mereka yang bekerja daripada lepasan SPM dalam soal pembayaran gaji. “Malah, mereka juga mempunyai ruang untuk melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi sama ada ke Institut Kemahiran MARA atau mana-mana universiti,” katanya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/153008

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.