KUALA LUMPUR, 13 Mei – Pegawai MARA Daerah perlu peka terhadap realiti perubahan semasa sama ada penggunaan teknologi dan kaedah baru yang lebih efisien di samping mempertingkatkan kemahiran sedia ada dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan adalah berkesan sehingga ke peringkat akar umbi.
Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob berkata, Pegawai MARA Daerah seharusnya meningkatkan kemahiran interpersonal, mengadaptasi pemikiran kritikal dalam membuat keputusan, pemikiran yang strategik serta bakat kepimpinan yang menyeluruh dalam menghasilkan outcome yang berkesan.
“Pegawai MARA Daerah perlu terus mendukung pelaksanaan dasar yang ditetapkan MARA dalam memartabatkan Bumiputera seperti transformasi luar bandar memandangkan pemantauan dan bimbingan pegawai-pegawai ini di akar umbi amat penting dalam memastikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Pegawai MARA Daerah Se-Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir ke majlis adalah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB Datuk Alexander Nanta Linggi; Ketua Setiausaha KKLW, YBhg. Dato’ Ariff bin Ab Rahman dan Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Ibrahim bin Ahmad.
Di majlis yang sama, MARA turut memperkenalkan Skim Pinjaman Kontrak Ekspres (SPiKE) 2.0 yang menawarakan pinjaman sehingga RM 1 juta dan merupakan penambahbaikan kepada skim terdahulu serta pewujudan Program Rantaian Nilai Industri (PRiN) bagi menambahbaik Program Kemudahan Pengeluaran dan Perintisan serta Inkubator Teknologi Perkilangan yang menawarkan had pembiayaan RM 500,000 kepada pemilikan tunggal/perkongsian serta RM 5 juta bagi syarikat sendirian berhad.