Subsidiari MARA tidak boleh bersendirian

ISMAIL Sabri Yaako b (duduk tiga kiri) mengatakan sesuatu kepada pegawai Mara semasa sesi bergambar bersama sebahagian penerima anugerah dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari Mara 2015 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL

ISMAIL Sabri Yaako b (duduk tiga kiri) mengatakan sesuatu kepada pegawai Mara semasa sesi bergambar bersama sebahagian penerima anugerah dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari Mara 2015 di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/GAIE UCHEL

KUALA LUMPUR 10 Mei – Subsidiari Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak lagi boleh bergerak secara silo atau bersendirian dalam me­laksanakan perniagaan sekiranya mahu menjadi sebuah konglo­merat berjaya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebaliknya semua subsidiari perlu bergerak secara bersama-sama dan menggabungkan jalinan tenaga serta usaha bagi membantu usahawan untuk berjaya dalam sesuatu industri.
Katanya, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sambutan 50 Tahun MARA yang lalu, yang mana MARA akan menstruktur semua anak syarikatnya di bawah satu bumbung dengan nama MARA Corporation Berhad (MARA Corp.) dilihat mampu merealisasikan sasaran tersebut.
“Inisiatif ini akan memacu subsidiari MARA ke arah menjadi syarikat konglomerat yang mapan, di mana syarikat yang dilahirkan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kerajaan sebaliknya mampu meneroka kekayaan lebih luas sehingga ke peringkat global.
“MARA Corp. juga merupakan alat perubahan MARA yang bukan sekadar berorientasikan pelaburan semata-mata tetapi berperanan membantu membangunkan usahawan kelas menengah bumiputera sebagai peneroka kepada industri baharu yang strategik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari MARA 2015 di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari MARA 2015 merupakan satu majlis anugerah kecemerlangan yang diadakan untuk kesemua anak syarikat MARA.
Seramai 364 daripada 7,963 kakitangan subsidiari MARA menerima anugerah di atas kecemerlangan dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau bangga dengan keberanian subsidiari MARA yang secara aktif menerokai industri peringkat tinggi seperti aeroangkasa dan maritim yang sudah pasti dapat membangunkan usahawan dan modal insan bertaraf dunia.
Jelasnya, subsidiari MARA boleh memainkan peranan penting dalam mentransformasikan MARA dengan memperluaskan lagi usaha menceburi bidang perniagaan yang berpotensi tinggi sekaligus memberi kesan kepada pemba­ngunan negara.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/subsidiari-MARA-tidak-boleh-bersendirian-1.322084

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.