MARA perlu jadi perintis industri berteknologi tinggi

ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari MARA 2015 kepada Pensyarah UniKL, Prof Madya Dr Haidawati Mohamad Nasir sambil diperhatikan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di Kuala Lumpur, malam ini.

ISMAIL Sabri menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari MARA 2015 kepada Pensyarah UniKL, Prof Madya Dr Haidawati Mohamad Nasir sambil diperhatikan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di Kuala Lumpur, malam ini.

PETALING JAYA: Penggerak sektor pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA) disaran menjadi perintis industri berteknologi tinggi ke arah menambah pembabitan usahawan Bumiputera dan meningkatkan pembangunan modal insan secara menyeluruh. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata penerokaan secara aktif dalam industri berkenaan terutama bidang aeroangkasa, maritim dan rel pasti memberi impak positif, sekali gus menjana pendapatan tinggi. Katanya, sektor berkenaan memainkan peranan penting di bawah transformasi MARA dan usaha perlu ditingkatkan untuk menceburi bidang perniagaan berpotensi tinggi. “Ia menawarkan peluang serta rantaian nilai keusahawanan yang memberi kesan tinggi kepada negara selain dapat membangunkan usahawan dan modal insan bertaraf dunia. “Pada masa sama, subsidiari MARA perlu melihat peluang yang wujud dalam mengembangkan perniagaan pada peringkat antarabangsa bagi mempelbagaikan strategi untuk mencapai kejayaan,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Subsidiari MARA 2015 di sini, malam ini. Pada majlis itu, seramai 364 kakitangan membabitkan 17 subsidiari MARA terpilih untuk menerima anugerah berkenaan berikutan peranan yang signifikan mereka dalam memastikan kecemerlangan syarikat. Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta setiap subsidiari menjaga integriti agar tidak terpalit kontroversi yang boleh menjejaskan imej MARA secara keseluruhannya.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/152338

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.