Institut kemahiran ubah hidup ‘Mac Gyver’ Malaysia

0012

KUALA LUMPUR 9 Mei – Walaupun dilihat tidak sehebat universiti dan kolej-kolej besar, institut kemahiran seperti GiatMara, Institut Kemahiran Mara (IKM), kolej komuniti dan Institut Kemahiran Be­lia Negara (IKBN) kini menjadi salah satu ‘lubuk emas’ kerana berjaya melahirkan go­longan muda berkemahiran tinggi.

Pemilik syarikat Zull Design Autotro­nic, Zulkifli Haron atau lebih dikenali sebagai ‘Mac Gyver’ Malaysia yang merupakan lulusan IKM berkata, kerajaan perlu membuka lebih banyak institut kemahiran dalam usaha membawa bidang kemahiran ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai pelajar yang kurang berminat dalam bidang akademik ketika muda, beliau menanam azam untuk bekerja dalam bidang teknikal walaupun pernah dipandang rendah dan dihina kerana tidak dapat menamatkan pengajian menengah.

Katanya, beliau menganggap kemasukan ke IKM sebagai titik tolak kejayaan hidupnya kerana sejak awal beliau telah dapat melihat bidang kemahiran sebagai ‘lubuk emas’ kerana peluang pekerjaan yang begitu luas dan memboleh­kannya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan.

“Meskipun pada ma­sa itu mereka yang tidak dapat masuk ke universiti dipandang rendah, saya gembira masuk ke IKM kerana itu adalah minat saya.

“Selepas tamat pengajian di sana, saya bekerja dengan orang lain tetapi akhirnya berhenti kerana ingin menggunakan kemahiran yang diperoleh sepanjang belajar di IKM untuk membuka kedai sendiri pada tahun 1980,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Induk Jelajah Pendidikan Bumiputera 2016, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar mencadangkan untuk mewajibkan pelajar Melayu dan bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal memasuki universiti awam melanjutkan pelajaran dalam bidang teknikal dan kemahiran.

Tambah Zulkifli, pada mulanya beliau hanya mengambil barang elektronik untuk dibaiki dan dari situ beliau belajar tentang selok-belok bidang pembuatan dengan lebih mendalam sehingga dapat menguasai ilmu bagi menghasilkan barang yang lebih unik.

“Sikit demi sedikit, saya mula mencipta barang-barang yang tidak pernah ada dalam pasaran.

“Produk-produk ciptaan saya telah berjaya menaikkan nama Zull Design Autotronic dan syarikat ini semakin dikenali dari sehari ke sehari. Alhamdulillah kami dapat bertahan sehingga kini, setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam bidang ini,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/institut-kemahiran-ubah-hidup-8216-mac-gyver-8217-malaysia-1.321631#sthash.B8fWogsI.dpuf

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.
%d bloggers like this: