Usahawan MARA perlu lebih kreatif: Annuar

KEMUDAHAN PENDIDIKAN: Hasbi (tiga kanan) menyerahkan permohonan pembinaan GIATMARA baharu Limbang kepada Annuar (tiga kiri) sambil disaksikan Dr Abdul Rahman (empat kiri), Ahad lalu.

KEMUDAHAN PENDIDIKAN: Hasbi (tiga kanan) menyerahkan permohonan pembinaan GIATMARA baharu Limbang kepada Annuar (tiga kiri) sambil disaksikan Dr Abdul Rahman (empat kiri), Ahad lalu.

LIMBANG: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Tan Sri Annuar Musa mahu usahawan MARA di negara ini lebih kreatif dalam mengembangkan perniagaan untuk bersaing dengan usahawan lain yang sudah maju dan jauh ke hadapan.

Beliau berkata, usahawan MARA perlu memikirkan kaedah terbaik dalam aspek menyediakan premis perniagaan bukan sahaja bersifat menyewa dalam bangunan MARA tetapi mewujudkan premis sendiri.

Katanya bidang keusahawanan terus menjadi fokus utama MARA membangunkan usahawan agar tidak ketinggalan di belakang berbanding usahawan lain.

“Dalam bidang keusahawanan, kita perlu bersaing dengan usahawan lain memandangkan usahawan kita masih di belakang.

“MARA sentiasa mencari formula baharu bagaimana membantu usahawan kita membuat lonjakan besar dalam bidang perniagaan mereka,” katanya pada Program Sembang Santai sempena lawatan kerjanya di Limbang malam Ahad lalu.

Turut sama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Parlimen Putatan Marcus Majigoh, ADUN Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, calon Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ahli Majlis MARA Datuk Aris Samsudin, Timbalan Pengarah MARA Negeri Wan Alwi Wan Bujang, Timbalan Pengarah GIATMARA Sarawak Nazib Pabeli dan Pegawai MARA Daerah Limbang Safuan Nepis.

Annuar berkata, tumpuan diberikan kepada usahawan mempunyai potensi dan rekod cemerlang untuk terus dibangunkan.

Beliau juga menggesa wakil rakyat agar turut sama membantu menjayakan formula itu agar potensi usahawan MARA dapat dikenal pasti dan membawa mereka kepada MARA.

“MARA akan tengok apa yang boleh mereka buat dan kita akan jayakan untuk membangunkan usahawan terlibat.

“Ini penting dalam membantu meningkatkan pencapaian pembangunan usahawan MARA,” tambahnya.

Selain itu, persatuan-persatuan usahawan MARA dan penyewa MARA juga perlu memainkan peranan lebih aktif merealiasasikan hasrat MARA termasuk mencari idea membangunkan usahawan.

Tambah Annuar, selain bidang keusahawan MARA juga berjaya dalam bidang pendidikan dan pelaburan yang merupakan bidang utama di bawah MARA.

“Tiga bidang ini (keusahawanan, pendidikan dan pelaburan) akan diperkasakan kerana MARA mempunyai kapasiti, tenaga kerja dan dana selain kekuatan melakukan lebih banyak agenda pembangunan Bumiputera.

“Oleh itu, MARA menggalakkan langkah kreatif sebagai agensi menggunakan sumber, selain sumber kerajaan sendiri,” ujarnya.

Jelas beliau, dalam tempoh 50 tahun MARA, sektor pendidikan sudah berjaya berikutan ribuan pelajar berjaya dilahirkan dan ditaja ke luar negara.

“Kini tumpuan kita adalah membangunkan usahawan Bumiputera untuk bersaing dengan usahawan luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan membina kompleks GIATMARA baharu di Limbang bernilai RM8 juta hingga RM10 juta pada masa depan.

Perkara itu sejajar dengan hasrat MARA menubuhkan GIATMARA di setiap Parlimen secara berperingkat.

Sumber: http://www.theborneopost.com/2016/04/27/usahawan-mara-perlu-lebih-kreatif-annuar/

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.