2 pelajar MRSM Kuala Terengganu menang emas di Geneva

AHMAD Asyraf (kiri) dan Ahmad Luqmanul serta guru pengiring, Anuar Ghani (tengah) bergambar bersama pingat yang dimenangi dan produk ciptaan mereka ketika tiba di KLIA, Sepang, hari ini.

AHMAD Asyraf (kiri) dan Ahmad Luqmanul serta guru pengiring, Anuar Ghani (tengah) bergambar bersama pingat yang dimenangi dan produk ciptaan mereka ketika tiba di KLIA, Sepang, hari ini.

SEPANG: Dua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Terengganu, Terengganu mengharumkan nama negara apabila menang pingat emas dan Anugerah Keseluruhan Terbaik dalam Pameran Reka Cipta Antarabangsa di Geneva, Switzerland. Projek ExiEco PB atau ‘powerbank yang dijana menggunakan air garam’ hasil ciptaan dua remaja berusia 17 tahun, Ahmad Asyraf Ariffin dan Ahmad Luqmanul Hakim Ahmad Tarmizi itu turut dinobatkan sebagai Ciptaan Antarabangsa Terbaik. Ahmad Asyraf berkata, idea membuat powerbank berkenaan tercetus apabila pernah menjadi mangsa banjir ketika berada di kampungnya di Pasir Puteh, Kelantan. Katanya, disebabkan tidak mendapat tenaga elektrik, telefon bimbitnya kehabisan bateri sehingga menyukarkannya membuat panggilan telefon dan terputus hubungan dengan pihak lain untuk meminta bantuan. “Alat ini tidak perlu dicas menggunakan elektrik, sebaliknya hanya perlu menggunakan air garam untuk menjana kuasa elektrik. “Malah, harga jualan juga mampu milik iaitu sekitar RM46 seunit kerana ia hanya menggunakan bahan mudah diperoleh seperti air garam, arang dan aluminium. “Powerbank ini mampu memberi tenaga sehingga 6.5 volt, yang cukup bagi mengecas telefon bimbit untuk digunakan ketika kecemasan,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebentar tadi. Pertandingan antarabangsa yang diadakan buat kali ke 44 itu disertai 752 pereka cipta dari 48 negara.

Sumber : http://www.bharian.com.my/node/145743

Advertisements
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.