GIATMARA beri peluang kerjaya untuk jana pendapatan

Alexander Nanta

Alexander Nanta

KAPIT 14 April – Peluang menambah pendapatan di samping mempelajari kemahiran yang disediakan GIATMARA harus dimanfaatkan penduduk di sekitar Ulu Yong, Kapit.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, melalui program seperti ini, ia akan dapat membantu anak-anak yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi mendapat kemahiran teknikal dan vokasional.

“Ini kerana, pendidikan alternatif juga mampu menyediakan peluang pekerjaan yang baik, sekali gus memberi pendapatan lumayan kepada mereka.
“Ibu bapa kini perlu memberi fokus kepada pendidikan anak-anak kerana dengan pendidikan sempurna, kita mampu untuk mengubah masa depan lebih baik terhadap mereka,” katanya ketika berucap dalam Program GIATMARA Dekati Rakyat di Rumah Panjang Manok Manchal, Ulu Yong di sini.

Beliau juga menyeru agar masyarakat setempat terus menyokong Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Ne­geri (PRN) yang akan diadakan pada 7 Mei nanti bagi menyatakan sokongan terhadap ke­pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, sekali gus menunjukkan betapa rakyat Sarawak setia bersama Perdana Menteri.
Dalam majlis sama, beliau turut menye­rahkan Outright Grand kepada 248 pintu Ketua Isi Rumah (KIR) berjumlah RM124,000 ba­gi membantu mereka dalam pelbagai urusan perbelanjaan harian.

Program khidmat masyarakat yang berlangsung selama tiga hari itu telah berjaya menarik minat dan mendapat sambutan luar biasa masyarakat setempat.
Pelbagai aktiviti yang dijalankan se­perti Latihan 1Malaysia Khas me­libatkan kursus Solekan, Seni Gaya Rambut, Simen Fero, Semburan Cat Tin, Membuat Kek dan Sulaman Riben telah disertai oleh hampir 120 orang.

Untuk rekod, GIATMARA Kapit yang memulakan operasi sejak 10 tahun lalu telah berjaya melahirkan sebanyak 415 graduan dengan menawarkan kursus pertamanya iaitu kursus Membaiki Motosikal serta Fesyen dan Pembuatan Pakaian sebagai memenuhi kehendak belia setempat.

– Sumber: http://www.utusan.com.my/bisnes/usahawan/giatmara-beri-peluang-kerjaya-untuk-jana-pendapatan-1.260071

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.