Sasar 20,000 orang ke Karnival Pendidikan MARA

SEBAHAGIAN lepasan SPM dan institut pengajian tinggi berbaris menunggu giliran dalam sesi temu duga dengan syarikat yang menyertai Karnival Pendidikan Mara 2016 di TTC, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. MINGGUAN/AZLAN BAHRUM

SEBAHAGIAN lepasan SPM dan institut pengajian tinggi berbaris menunggu giliran dalam sesi temu duga dengan syarikat yang menyertai Karnival Pendidikan MARA 2016 di TTC, Kuala Terengganu, Terengganu, semalam. MINGGUAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 9 April – Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan siri jelajah Karnival Pendidikan MARA 2016 yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini selama dua hari bermula hari ini.
Seramai 84 pempamer daripada pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara mengambil bahagian dalam karnival anjuran Mara dengan kerjasama Utusan Malaysia sebagai akhbar rasmi itu.
Karnival yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 6 petang itu bukan sahaja memberi pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa untuk mengenali institusi pendidikan termasuk milik agensi tersebut bahkan, menjadi ruang perbincangan mengenai peluang penajaan serta pembiayaan.
Penolong Pegawai Latihan dan Kerjaya MARA negeri, Shakilah Kamarudin berkata, kehadiran pengunjung sangat memberangsangkan dengan rata-rata mereka berpuas hati dengan penganjuran karnival yang ternyata memberi manfaat besar dalam mendapatkan informasi tepat.
“Selain pameran, orang ramai juga berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan percuma disamping melihat aktiviti menarik antaranya Bengkel Wartawan Kadet diikuti dekorasi kek, gubahan bunga dan sulaman oleh pelatih GIATMARA.
“Pada penganjuran kali ini, terdapat 21 majikan yang turut serta menawarkan temu duga terbuka bagi pencari kerja dalam kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah,” kata­nya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam karnival itu, sebanyak 4,368 kekosongan jawatan ditawarkan kepada mereka yang berhasrat mendapatkan pekerjaan bersesu­aian dengan kelayakan, pe­ngalaman dan kemahiran ma­sing-masing.
Sementara itu, salah seorang pengunjung Nabila Abdullah, 22, yang baru menamatkan pengajian peringkat diploma mikrobiologi bersyukur dengan kehadiran majikan yang khusus dengan bidang pengajiannya.
Katanya, di negeri ini peluang pekerjaan dalam bidang makmal dan perancangan kesihatan adalah terhad, maka penganjuran karnival sedemikian merupakan platform tepat untuknya mencuba nasib mencari kerja.
“Setakat 11 pagi ini saya sudah menghadiri tiga temu duga. Sekiranya ada rezeki saya dite­rima bekerja, semestinya saya gembira, tetapi itu soal kedua kerana yang lebih penting adalah pe­ngalaman dan input berharga yang diperoleh daripada majikan,” katanya.
Bagi Zakiah Abdul Halim, 22, selain mahu mencari kerja, ke­sempatan itu turut digunakan bagi meninjau peluang untuk me­lanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sasar-20-000-orang-ke-karnival-pendidikan-mara-1.231164

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.