MARA bantu pelajar kenali potensi diri

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM mengunjungi gerai untuk mendapatkan maklumat berkaitan IPTA dan IPTS semasa Karnival Pendidikan MARA 2016 di Ayer Keroh, Melaka, semalam. Mingguan/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

SEBAHAGIAN pelajar lepasan SPM mengunjungi gerai untuk mendapatkan maklumat berkaitan IPTA dan IPTS semasa Karnival Pendidikan MARA 2016 di Ayer Keroh, Melaka, semalam. Mingguan/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

MELAKA 9 April – Sebagai salah sebuah agensi yang berperanan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi, MARA sentiasa optimis membantu golongan pelajar mengenali potensi diri sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Inisiatif berkenaan diterjemahkan melalui penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2016 yang berperanan sebagai platform bagi pelajar mendapatkan segala maklumat berkaitan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) di seluruh negara.
Timbalan Pengarah MARA negeri, Noor Irwan Marmin berkata, dengan membawakan konsep roadshow, karnival kali ini diharap dapat menjadi pusat sehenti kepada pelajar dan ibu bapa untuk meninjau peluang pendidikan dan latihan yang ditawarkan MARA serta IPTA/IPTS yang mengambil bahagian.
Menurutnya, karnival tahunan yang sudah menjangkau usia 16 tahun turut diharap dapat meningkatkan lagi penyebaran maklumat mengenai aktiviti dan program MARA yang secara tidak langsung membantu meningkatkan sistem pen­yampaian MARA kepada masyarakat.
“Semoga saluran penyampaian maklumat ini dapat membantu pelajar terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mengenali potensi diri seterusnya membuat keputusan bijak dalam menentukan pilihan pendidikan berdasarkan kelayakan serta minat masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia sempena Karnival Pendidikan MARA 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.
Yang turut hadir Pengurus Jabatan Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Ainol Amriz Ismail dan Penolong Pengurus Pengurusan Jenama Utusan Melayu (M) Berhad, Hazura Ahmad Halil.
Karnival selama dua hari sehingga esok itu disertai hampir 60 buah IPTA/IPTS dari seluruh negara selain turut melibatkan beberapa agensi berkaitan termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Yayasan MARA dan banyak lagi.
Antara IPTA/IPTS yang mengambil bahagian termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Petronas, UniRazak, Universiti Malaysia Sabah (UMS), German-Malaysia Institute, Kolej Poly-Tech MARA dan Lim Kok Wing University.
Jelas Noor Irwan, idea penganjuran Karnival Pendidikan MARA dilihat mencapai matlamatnya untuk memberi kefahaman kepada pelajar serta ibu bapa mengenai hala tuju pendidikan serta penentuan karier masa depan.
“Apa yang menarik untuk penganjuran tahun ini, karnival memperkenalkan segmen peluang pendidikan dan kerjaya serta menonjolkan segmen kemahiran dan inovasi untuk mereka mengenali lebih dekat bidang yang ditawarkan khususnya dalam bidang kemahiran,” katanya.
– Sumber: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/MARA-bantu-pelajar-kenali-potensi-diri-1.231146

Advertisements
This entry was posted in Pendidikan. Bookmark the permalink.